pilihanPolitik

Rais buat kejutan tewaskan Mohamad Ali di Tangga Batu

Angin perubahan melanda UMNO Bahagian Tangga Batu apabila penyandang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian apabila tewas dengan empat undi kepada lawannya Datuk Rais Yasin pada Persidangan Perwakilan Bahagian semalam.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menang apabila memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang meraih 278
undi.

Keputusan mengejutkan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Datuk Haziz Ghani. Seramai 568 perwakilan menghadiri Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tangga Batu
di Hotel LaCrista di sini malam tadi.

Mengulas kemenangan tersebut Rais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan
Telekomunikasi negeri berkata, beliau melahirkan rasa syukur dan insaf dengan kemenangan yang
tidak diduga itu.

Menurut bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu itu lagi, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh perwakilan kerana memberi mandat kepadanya untuk menerajui bahagian itu.

“Saya harap semua ahli dapat sama-sama membina kembali kekuatan parti di sini demi perubahan yang akan kita bawa bersama.

“Parti ini akan terus diperkasakan Insya Allah dan kemenangan ini bukanlah milik saya seorang.

“Ini adalah berkat doa dan usaha oleh semua jentera yang bekerja keras pagi, petang, siang dan malam.

“Saya yakin dan percaya tidak akan ada satu orang pun yang akan ditinggalkankerana kita semua bertanding dalam semangat kekeluargaan parti UMNO. Saya mahu membawa parti lebih cemerlang,” ujarnya ketika ditemui selepas diumumkan menang sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu yang baharu.

Ditanya barisan kepimpinan baharu walaupun sebahagian besar bukan berada di barisannya Rais berkata, beliau mewakili suara UMNO di Tangga Batu dan akan bekerjasama dengan Timbalan, Naib, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri.

Jelasnya, beliau akan bekerja sama dengan saf kepimpinan termasuk ahli jawatankuasa yang menang tanpa wujud sebarang perbezaan mereka di kem siapa sekali pun demi survival UMNO di Tangga Batu. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button