Azmir Yuzaimi tekad kembalikan kebersamaan, ketelusan UMNO Bahagian Puchong
CALON Ketua UMNO Bahagian Puchong, Azmir Yuzaimi Mohd Yunos bertekad membawa kembali kebersamaan di antara pimpinan dan ahli UMNO dalam usaha mengukuhkan parti itu di kawasan berkenaan.
Beliau berkata kedudukan geografi Puchong yang 80 peratus adalah di kawasan bandar menyebabkan ada kalangan pemimpin dan ahli terlepas pandang semangat kekitaan hingga membawa cara masing-masing dan dilihat seperti renggang.
“Saya mahu dalam Puchong ini ada pasukan yang mantap, ada kebersamaan antara pemimpin-pemimpin di semua peringkat baik cawangan, pemuda, wanita dan puteri.
“Kita tidak mahu ada jurang antara pemimpin atasan dan bawahan serta ahli. Saya mahu bentuk satu budaya semangat kasih sayang yang lebih kuat dengan kebersamaan itu.
“Apa yang kita nak apabila mana-mana pemimpin datang ke sesuatu tempat, ia dapat merasai, menjiwai tempat itu. Di Puchong ini ada rumah kos rendah, sederhana ada juga kawasan elit. Jadi biarlah ada kebersamaan dan berpasukan walau di mana sekalipun,” katanya.
Azmir Yuzaimi yang menjadi ahli UMNO sejak 24 tahun lalu berkata beliau juga mahu memastikan elemen ketelusan dititik berat dalam UMNO Puchong bagi memastikan gerak kerja berpasukan dapat berjalan lancar.
“Pengagihan kuasa itu kita berikan sepenuh kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin di peringkat cawangan untuk mereka bergerak dan kita raikan. Tidak ada lagi sikap apabila satu cawangan membuat sesuatu kita rasa ada persaingan, budaya ini kita perlu buang.
“Kita kena percaya pemimpin akar umbi ini. Kita mempunyai sekitar 16,000 ahli dengan 46 cawangan, sedangkan pada awalnya kita mempunyai 69 cawangan.
“Jadi saya mahu kembalikan formula untuk hidupkan semula semua cawangan yang tidak aktif ini. Ke mana baki cawangan ini? mungkin kita tidak prihatin kepada mereka sebelum ini jadi kita kena atasi masalah ini dan gerakkan mereka kembali untuk bersama pasukan,” katanya.
Pemilihan UMNO Bahagian Puchong, menyaksikan pertandingan empat penjuru yang turut membabitkan penyandangnya, Datuk Dr Mohamad Satim Diman serta Radin Mokhtar Md Yusof dan Kamsani Kamarudin. – SM
Artikel berkaitan > Bertanding MKT UMNO: Shahaniza optimis dalam pemilihan