Bank Rakyat komited pacu transformasi perbankan digital, anjur Minggu Teknologi 2023
BANK RAKYAT terus komited memacu transformasi pendigitalan landskap perbankan dan kewangan negara menerusi penganjuran Minggu Teknologi Bank Rakyat 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 14 hingga 16 Mac ini.
Inisiatif ini yang bertemakan ‘Bank Rakyat of Tomorrow’ merangkumi pelbagai program menarik temasuk Forum Digital dan Tech Talk sessions yang menampilkan barisan speakers daripada pakar industri dan personaliti tempatan serta antarabangsa antaranya seperti Cloud Mile-Google Cloud, Amazon Web Services dan Microsoft.
Ruang pameran, bengkel, Fintech Showcase dan Sesi Soal Jawab turut dianjurkan sebagai platform networking bagi unit perniagaan, agensi serta pihak berkepentingan membincangkan isu pendigitalan khususnya dalam inisiatif merapatkan jurang kewangan sekali gus membina semula pertumbuhan ekonomi digital yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.
Pada Majlis Perasmian Minggu Teknologi Bank Rakyat 2023 ini turut menyaksikan pelancaran beberapa inisiatif digital baharu Bank Rakyat iaitu QR Pay yang membolehkan pelanggan membuat pembayaran tanpa tunai dengan mudah dan pantas hanya dengan mengimbas kod QR menerusi perbankan mudah alih iRakyat.
Selain itu, E-Lelong Ar-Rahnu yang merupakan platform lelongan secara dalam talian bagi membolehkan pelanggan membuat bidaan barangan kemas dan barangan emas Pajak Gadai-i di mana-mana sahaja.
Bank Rakyat turut mengumumkan kerjasama antara Bank Rakyat dengan rakan strategik, AirAsia Rewards yang buat julung kalinya dimeterai bagi memperkenalkan platform penukaran mata ganjaran Kad Kredit-i Bank Rakyat. Pemegang Kad Kredit-i Bank Rakyat boleh menebus airasia points kepada pelbagai kemudahan seperti penerbangan, penginapan atau penghantaran seperti airasia ride dan airasia food.
Turut juga diadakan program penyampaian hadiah berupa langganan Google Workspace selama 12 bulan kepada pemenang program Bank Rakyat Hackathon 2023. Inisiatif ini merupakan kerjasama antara Bank Rakyat di bawah inisiatif Bank Rakyat UNIpreneur dengan Universiti Malaysia Kelantan bertujuan bagi menggalakkan pemikiran kreatif dan berinovasi dalam kalangan mahasiswa untuk menghasilkan aplikasi mudah alih yang memanfaatkan model perniagaan mereka.
Minggu Teknologi Bank Rakyat 2023 tersebut dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di Menara Kembar Bank Rakyat di sini, hari ini.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Ewon Benedick berkata, usahawan, institusi dan agensi berkaitan perlu meneroka dan memanfaatkan gelombang digital, membangunkan ekosistem yang dijana oleh teknologi seperti Internet of Things (IoT), rangkaian peranti mudah alih, analisis data, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) serta mekanisme pembelajaran mendalam (Deep Learning Mechanism).
“Usaha Bank Rakyat untuk terus merangsang ekosistem teknologi dan inovasi dalam operasi perniagaannya merupakan langkah penting dalam memacu hasrat negara membangunkan agenda ekonomi digital seiring dengan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) oleh kerajaan,” katanya.
Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat, Haji Mohd Jafri Kudus yang mewakili Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, inisiatif ini sememangnya tepat pada masanya dalam kita merealisasikan aspirasi negara dan industri perbankan di samping membuktikan komitmen Bank Rakyat dalam mendukung agenda digitalisasi Bank Rakyat 2025 (BR25) serta pelan transformasi digital untuk muncul sebagai sebuah institusi kewangan yang mapan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, Bank Rakyat berharap agar inisiatif ini dapat dijadikan platform untuk membantu perbincangan, memberi inspirasi dan mencetus idea baharu dalam pembangunan teknologi dan inovasi digital khususnya dalam landskap perbankan dan kewangan. – SM
Artikel berkaitan > Lelaki dapat durian runtuh RM100,00 dari Bank Rakyat