Menteri Pendidikan santuni RESQ team UPSI
MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek yang turun padang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Chaah (SMKC), Segamat untuk meninjau kawasan yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda negeri daerah berkenaan teruja dengan pengorbanan sukarelawan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Fadhlina mengadakan lawatan bertujuan untuk melihat secara lebih dekat keadaan sekolah-sekolah yang dilanda banjir bagi memastikan kerja-kerja membaik pulih infrastruktur dan kemudahan peralatan yang rosak dan terjejas akibat banjir dapat diusahakan dengan segera.
Sempena lawatan itu, Fadhlina Sidek sempat meluangkan masa beramah mesra dan menyantuni sukarelawan ResQ Team dari Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPSI ketika menjalankan misi pembersihan pasca banjir di sini.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, misi yang diketuai oleh Penyelaras ResQ Team UPSI, Farizul Athir Mohd Ramli disertai 27 sukarelawan yang memberi fokus terhadap misi pembersihan di rumah mangsa.
Misi dengan kerjasama Yayasan Amal ASAS di kawasan SMK Chaah yang terjejas dengan harapan ia dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir.
“Selain melaksanakan misi menyelamat dan pembersihan, ResQ Team juga turut mengagihkan sebanyak 150 kotak sumbangan berbentuk keperluan barang makanan kering dan keperluan asas bernilai RM8,715 hasil sumbangan dari SV Suluh Budiman Sdn Bhd melalui tabung UPSI Prihatin di kawasan Batu Pahat dan Segamat.
Beliau berkata dengan kekuatan jentera yang terdiri dari dua buah kenderaan pacuan empat roda, sebuah unit lori, dua buah van dan bot berenjin serta pelbagai peralatan pembersihan ini ResQ Team UPSI mampu menggalas misi kemanusiaan yang diamanahkan sekaligus menyantuni golongan yang memerlukan pertolongan dalam kadar segra.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata apabila berlaku bencana banjir, UPSI menerusi ResQ Team akan bertindak segera membantu mangsa terutama peringkat pasca banjir.
“Sukarelawan kami bukan sahaja terdiri daripada staf, malahan membabitkan mahasiswa bagi menyemai semangat kemanusiaan dan keprihatinan sewaktu masih belajar lagi,” katanya. -SM