Nasib veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tergolong dalam kelompok B40 terbela apabila Kementerian Pertahanan meningkatkan jumlah penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada 9,000 sebelum ini kepada 15,000 orang bermula tahun ini.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, pertambahan sebanyak 6,000 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM54 juta apabila setiap seorang menerima bantuan sebanyak RM300 setiap bulan untuk diagih-agihkan kepada 15,000 penerima.
Menurut Ahli Parlimen Alor Gajah, kementerian meluluskan peningkatan jumlah penerima bertujuan untuk menjaga kebajikan golongan veteran ATM B40 agar nasib mereka terbela dan dapat meringankan beban hidup mereka.
“Setakat ini kita banyak menumpukan kepada Bantuan Sara Hidup kalau ada anggota yang berpencen dan pencen mereka rendah kita akan tambah RM300.
“Bagi yang tidak ada pencen langsung, paling tidak bantuan RM300 dapat juga mereka terima bagi meringankan hidup mereka.
“Bukan itu sahaja malah soal pendidikan anak-anak veteran ATM tidak kita ketepikan. Kalau ada anak masuk universiti untuk diploma kita bagi RM1,000 dan ijazah pula sebanyak RM1,500,” ujarnya kepada pemberita selepas Jelajah Program Peduli Veteran (PPV) membabitkan enam keluarga yang memerlukan bantuan di sini hari ini.
Dalam program tersebut Adly mengunjungi enam buah rumah veteran ATM golongan B40 di sekitar Alor Gajah, Melaka serta menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang saguhati.
Mengulas lanjut Adly berkata, pihak kementerian melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) selain BSH, turut memberi perhatian kepada aspek perumahan terhadap golongan tersebut.
Menurutnya, bagi tujuan tersebut satu peruntukan khas disediakan untuk membaiki sebanyak 40 buah rumah veteran ATM yang daif di seluruh negara.
Beliau berkata, selain itu pihak kementerian turut memberi perhatian bukan dalam soal kebajikan semata-mata tetapi juga soal kesihatan untuk mereka mendapat rawatan. – SM