pilihanPolitik

Stigma budak-budak tidak lemahkan Dira

Walaupun stigma yang diberikan kepada Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidiriah Abu Zahar sebagai budak-budak, paling bongsu dan paling muda ia tidak melemahkan semangatnya bersaing merebut jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO pada pemilihan parti bulan depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim itu berkata, biarpun apa juga stigma yang diberikan, beliau yakin kehadirannya menawarkan diri bertanding jawatan yang dikosongkan penyandangnya, Datuk Zahida Zarikh Khan adalah tepat.

Menurut Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jasin itu, hasrat menawarkan diri sebagai calon kerana ingin mengembalikan aura taring sayap UMNO seperti awal penubuhannya suatu ketika dahulu.

“Saya ingin lihat Puteri UMNO menjadi salah satu sayap paling penting sehebat Wanita dan Pemuda kerana kita mempunyai ramai ahli yang berpotensi serta mampu mengubah banyak perkara.

“Walaupun keahlian Puteri adalah kecil dan banyak kekangan tetapi saya yakin semangat perjuangan sayap ini mampu dikembalikan semula

“Untuk itu Pergerakan Puteri UMNO memerlukan seorang pemimpin yang sangat kuat dan wibawa. Saya mampu menawarkan kepimpinan yang lebih ampuh jika diberi peluang,” ujarnya.

Beliau ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan borang pencalonan bertanding jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin di pejabat UMNO Bahagian Jasin di sini hari ini.

Setakat ini selain Khaidiriah, tiga calon mengesahkan akan bertanding jawatan itu termasuk Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurul Hazwani Haslan dan dua Exco Puteri iaitu Dr. Masliha Harun dan Fadwah Anuwar.

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Dira berkata, beliau telah menyerahkan borang pencalonan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Jumaat lepas.

Menurutnya, setakat ini beliau menawarkan diri bertanding jawatan tersebut secara solo.

Sehubungan itu katanya, beliau terbuka kepada mana-mana calon yang bertanding jawatan Naib dan Ahli jawatankuasa untuk bekerjasama dengannya.

“Setakat ini saya bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri secara solo dan jika ada mana-mana calon lain yang ingin bersama saya ia tidak ada masalah,” ujarnya.

Mengenai jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian pula, Dira berkata, beliau bersama ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh menawarkan pakej pembaharuan yang lebih mantap dalam usaha memastikan parti itu terus kukuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Walaupun barisan kami ini muda tetapi misi kami adalah untuk merampas kembali kerusi Parlimen Jasin pada PRU16 dan mengembalikan kegemilangan UMNO Bahagian Jasin,” ujarnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button