Diari AG

Wang boleh dicari tapi kasih sayang..

28 Januari 2020:

PEJAM celik pejam celik, dah hampir sebulan AG bawa Grab. Pantas sungguh masa berlalu. Daripada kelam-kabut, AG sekarang dah pandai kawal diri.

Patut lah badan pun mula rasa sengal-sengal. Mana tidaknya, pagi-pagi lagi mula meredah jalan raya. Balik pula lewat petang, kadang-kadang terlajak hingga ke malam. Lepas makan, solat dan mandi, AG tak sempat buat apa-apa lain, terus tidur.

Kesian kucing-kucing AG. Terpinga-pinga dengan perubahan yang berlaku. Kalau dulu, kami selalu borak-borak, siap main kejar-kejar dan sorok-sorok, sekarang ucap selamat malam pun lupa.

Tapi itu lah orang kata, kucing-kucing ini tak macam manusia – cepat sentap. Si Tuah, Kecik dan Abang Ngah tetap setia teman AG tidur.

Pernah satu malam, AG perasan ada kuku halus cuba menembusi lengan sado AG. Dalam kepala dah mula fikir yang bukan-bukan. Sudah, penumpang mana pulak yang aku angkut bawa balik tadi. Getaran di dada jangan cerita lah.

Perasaan takut, cemas semua ada. AG cuba kumpul keberanian untuk buka mata sambil mulut tak henti-henti baca ayat-ayat pendinding.

Dalam suasana cahaya yang samar-samar itu, AG nampak si Tuah. Rupa-rupanya itu kuku si Tuah.

Ya Allah, kucing pun tahu nak berbakti. ‘Dia’ memicit dengan tekun hampir lima minit juga.

AG tak tau nak kata apa. Memang sebelum ini Tuah rajin memicit tapi itu pun kena disuruh. Kalau tak suruh, tak ada la ‘dia’ nak memicit.

Sikap Tuah menyedarkan AG – dalam bahasa yang lebih tepat, menginsafkan AG. Tuah, walaupun hanya seekor kucing tetapi memahami keadaan sekelilingnya. ‘Dia’ tahu AG penat, tanpa disuruh, dia dengan rela hati, sedia berkhidmat.

Hari ini AG ambil cuti. AG nak layan ‘anak-anak bulu’ kesayangan. Nak borak-borak dan main kejar-kejar. AG sedar, wang kita boleh cari, tetapi kasih-sayang abadi tidak boleh ditukar ganti!

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button