Barisan pengasas Bersatu berpeluangkah dipilih?
ADAKAH kalangan pemimpin pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) wajar diberi peluang oleh ahli dalam pemilihan parti itu, sekali gus meraih tempat untuk terus memperkasakan parti yang mengetuai kerajaan Pakatan Harapan (PH) tersebut?
Pemilihan tertinggi parti itu pada Jun depan akan menyaksikan semua jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sesi 2019-2022 dari peringkat 25 ahli MPT, naib-naib presiden, timbalan hinggalah presiden dipertandingkan.
“Bersatu berada pada landasan yang baik untuk terus berkembang. Parti ini masih memerlukan barisan pemimpin yang pernah bertindak sebagai pengasasnya untuk terus menguatkan struktur dalaman parti dan menambah keanggotaannya.
“Bersatu harus ingat, meskipun pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai perdana menteri, Bersatu masih tetap parti komponen PH yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terendah, 26 kerusi berbanding PKR, 50 kerusi dan DAP, 42,” kata penganalisis kepada Suara Merdeka hari ini.
Antara yang menjadi pelopor penubuhan Bersatu yang membawa kepada penubuhan parti itu pada 8 September 2016 adalah daripada kalangan tujuh ahli jawatankuasa penaja dan lima yang dilantik.
Mereka ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Dari kalangan mereka yang dilantik termasuklah Datuk Seri Redzuan Mohd Yusof dan Datuk Marzuki Yahya.
Tiga tenaga pengasas Bersatu yang keluar parti ialah Datuk Hamidah Osman, Kamarul Azman Habibur Rahman dan Anina Saadudin.
Buat pertama kali sejak ditubuhkan empat tahun lalu, Bersatu bakal menghadapi pemilihan di semua peringkat bermula penamaan calon hari ini 26 Januari.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar, Bersatu akan mengadakan pemilihan barisan jawatankuasa di peringkat Cawangan, Bahagian dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) termasuk sayap-sayap Srikandi dan Armada.
Pemilihan peringkat cawangan dijadualkan berlangsung dari 15 Februari hingga 29 Mac, diikuti pemilihan bahagian yang akan memilih barisan MPT pada 18 April depan.
Jumlah bahagian yang layak bersidang adalah 189 manakala jumlah ahli yang layak mengambil bahagian dalam persidangan adalah 363,167 ahli.Persidangan cawangan akan didahului persidangan Srikandi dan Armada Cawangan yang akan memilih Jawatankuasa Srikandi serta Armada Cawangan masing-masing dan Jawatankuasa Srikandi serta Armada Bahagian masing-masing.
Mesyuarat dan Perhimpunan Agung pertama Bersatu akan berlangsung selama empat hari dari 25 hingga 28 Jun. – SM