Budi dibalas tuba: Ayu isteri diceraikan selepas jaga, rawat suami hampir hilang ingatan
USAHAWAN kosmetik Siti Rohayu atau Ayu yang dahulunya pernah menjadi perhatian ramai kerana menjaga suaminya yang terlantar akibat kemalangan jalan raya dan hampir hilang ingatan, akhirnya diceraikan.
Ayu yang cekal menjaga Muhammad Ridwan Zaki sehingga pulih sepenuhnya dan mampu berjalan semula berkata, keputusan perceraian itu dibuat demi kebaikan semua pihak.
“Ini keputusan untuk kebaikan semua orang di sekeliling. Malah saya juga sudah penat berjuang mempertahankan rumah tangga kami. Kerana itu, saya dengan rela hati mengundur diri,” katanya.
Perceraian pasangan ini dilafaz oleh Ridwan di Mahkamah Syariah Daerah Besut, Terengganu.
Ayu juga berharap keluarga sebelah bekas suaminya boleh menjaga Ridwan dengan sebaik mungkin seperti beliau pernah jaga bekas suaminya dahulu.
Terdahulu, pernah tular di media sosial, keluarga mentua Ayu didakwa kononnya ingin mengambil Ridwan atas faktor kewangan.
Melalui ciapan di Instagram (IG), Ayu memuat naik foto terakhir beliau sedang membantu Ridwan mencukur kepala dan meninggalkan catatan kapsyen yang sedih.
“Buat kali terakhir ku menjalankan tugas sebagai seorang isteri buat diri mu. Esok berakhirlah sudah kisah kita. Andai ada salah dan silap, maafkan diri ku sepanjang bergelar isteri mu.
“Maafkan aku tak mampu nak menjadi seorang isteri yang baik buat diri mu. Maafkan aku tak mampu nak pertahankan lagi.
“Segalanya salah diri ku muncul dalam hidup mu. Akan ku undur diri demi kebaikan semua, reda (redha) terima segalanya dengan berlapang dada. “Semoga diri mu dijaga dengan baik oleh keluarga mu. Lebih baik daripaa aku menjaga mu. Halalkan segalanya, aku halalkan juga setiap nafkah yang tidak mampu kau bagi. Semoga Allah jaga diri mu wahai suami,” catat Ayu di IGnya.
Rata-rata netizen yang mengikuti kisah mereka dari awal meluahkan rasa sedih dan simpati atas apa yang berlaku.
Semoga Ayu terus kuat menghadapi ujian hidup. – SM