Kategori kumpulan pendapatan disemak semula
KERAJAAN akan menyemak semula kategori kumpulan pendapatan berdasarkan hasil Survei Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas tahun 2022 dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) 2021 – 2025 yang bermula pertengahan bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, analisis data survei akan dilaksanakan pada awal tahun depan dan dijangka siap pada suku pertama tahun yang sama.
Katanya, semakan ini akan mengambil kira perubahan struktur pendapatan dan perbelanjaan, kos sara hidup, demografi serta lokasi isi rumah.
“Kategori kumpulan pendapatan isi rumah yang baharu akan memantapkan lagi penggubalan dasar dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang meminta kerajaan menyatakan perangkaan terkini butiran kategori pendapatan berkenaan isi rumah mengikut kategori B40, M40, T20 menurut pecahan tahun 2019, 2020, 2021 dan 2022.
“Pada masa ini, Jabatan Perangkaan Malaysia sedang melaksanakan survei tersebut membabitkan 92,000 isi rumah bermula dari Januari 2022 hingga Disember 2022,” katanya. – BERNAMA