AMAN. Itulah perkataan pertama diucapkan yang lahir dari hati nurani seorang model, penyanyi, pelakon dan pengacara, Dr. Soo Wincci apabila pertama kali berpeluang melangkah masuk ke masjid.
Siapa sangka, bekas Ratu Cantik Malaysia 2008 yang berusia 37 tahun ini rupa-rupanya telah berpuluh tahun menyimpan impian “ingin masuk masjid’.
Kata Wincci beliau ada menyatakan keinginan itu tetapi gagal kerana tidak diberi kebenaran seperti yang dilaluinya hari ini.
Pensyarah Muzik dan Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang bergelar Prof Madya ini telah 11 tahun mengamalkan puasa di bulan Ramadan memang biasa dengan kehidupan orang Melayu semenjak di bangku sekolah menengah lagi.
Beliau akui tanggal 31 Ogos 2022 sempena Hari Kebangsaan Ke-65 adalah sangat bersejarah pada dirinya.
Peluang menjejak kaki ke masjid mula terbuka apabila dihubungi
Hidayah Centre Foundation (HCF) Perlis, bulan lalu.
“Saya terus kata setuju untuk menjadi salah seorang panel Dialog Harmoni bertajuk “Peranan Agama Membina Agama” sempena Mosque Open Day (MOOD) pada 31 Ogos di Masjid al Mursyid, Guring, Pauh,” katanya ketika ditemui wartawan Suara Merdeka.
Akui Wincci beliau tidak menyangka dapat melihat ruang dalaman masjid bukan sahaja luas dan lapang malah merasai suasana yang amat menenangkan perasaan.
Beliau berharap akan berpeluang masuk ke masjid lagi dan mengaku pernah menjadikan al Quran sebagai rujukannya.
Wincci juga penerima Anugerah Najasyi (bukan Islam) sempena
Majlis Sambutan Sedekad HFC baru-baru ini.
Wincci dijemput pada majlis berkenaan bersama barisan panel iaitu Imam Besar Perlis, Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar Al Hafiz dan Setiausaha Kelab Bell Belia Tamil Perlis, T. Mrunalini di mana Imam 1 Masjid Babul Ibadah, Chemumar, Arau, Ustaz Muhammad Faidhi Azis sebagai moderator.
Winchii yang tampil berbaju kurung moden warna hijau lumut ini ketika berhujah meminta rakyat jangan hanyut dengan media sosial yang suka membakar sentimen tanpa berpaksikan keadaan sebenar di alam nyata.
“Contohnya hari ini, saya berada di dalam masjid juga bersama kaum lain yang berlangsung dengan baik dan penuh dengan semangat persaudaraan,” katanya.
Beliau sendiri tidak kekok menjalankan misi kemanusiaan tanpa batasan agama dan bangsa kerana ia sekaligus dapat menolak sebarang prasangka yang membawa perbalahan yang merugikan negara. – SM