Pemilik kilang bihun jelaskan fitnah
ENTAH dimana silapnya fitnah tidak berasas mengenai sebuah kilang bihun yang pernah tular sebelum ini kerana dikatakan terletak bersebelahan kandang babi masih lagi tular walaupun telah dinafikan pemiliknya berulang kali.
Malah terbaharu, viral semula kisah ini sejak minggu lepas berita tentang kilang bihun yang beroperasi bersebelahan kandang babi di Pulau Pinang sekali gus menimbulkan perasaan yang agak kurang senang kepada masyarakat terutamanya yang beragama Islam di negara ini.
Menurut pemilik Kilang Bihun EKA Noddles Berhad, Datuk Seri Erwan Tahir, kisah ini pernah mendapat perhatian umum sejak 2013 lagi apabila dikatakan Kilang Bihun Beras Indah (KBBI) yng beroperasi di sebelah kandang babi itu dikatakan adalah miliknya.
Walhal itu bukan milik syarikat bihun milik Erwan. Ujarnya nama asal kilang miliknya adalah KBB Resources Berhad dan ia telah ditukar nama kepada EKA Noodles Berhad.
“Saya tidak pernah memiliki syarikat Kilang Bihun Beras Indah (KBBI) sepertimana yang ditularkan itu dan ini adalah satu tuduhan yang tidak berasas dan fitnah semata-mata terhadap diri dan nama baik saya serta syarikat saya.
“Berita ini telah viral sejak dari tahun 2013 lagi dan saya dapati cerita ini berulang kali setiap tahun. Oleh itu saya dan pegawai saya telahpun membuat laporan Polis dan MCMC pada masa itu,” katanya kepada Suara Merdeka.
Ujar Erwan, syarikat miliknya itu adalah sebuah syarikat Public Listed Company dan menguasai pasaran bihun hampir 70% di Malaysia selain turut dieksport untuk pasaran luar negara.
“Kesemua produk bihun ini juga telah mendapat pensijilan Halal daripada JAKIM dan setiap tahun dibuat pemeriksaan dan audit untuk kebersihan dan produk Halal oleh pihak berkuasa,” katanya.
Oleh itu beliau mengharapkan dengan penjelasan ini ia dapat menerangkan kepada semua rakyat Malaysia bahawa berita yang ditularkan itu adalah tidak benar dan bersifat fitnah semata-mata. SM