Nasionalpilihan

Raja Muda sokong produk pelancongan baharu BalBuk Haus, Warong Chaq, BBC Campsite

‘BalBuk Haus’ mula terdiri di Kampung Balik Bukit, Chuping, Perlis pada sekitar hujung 2019 sebagai satu ruang perkaryaan mandiri.

Makanan sebagai subjek utama pengkaryaan, alamraya sebagai medium pengkaryaan dan diskusi sebagai tema.

Konsep awal di ‘BalBuk Haus’ adalah menikmati makanan secara privasi sambil ditemani bunyi unggas serta dikelilingi sawah padi dengan bayaran hanya sekadar deposit ruang makan sama ada dalam suasana pustaka atau ruang pondok terbuka dan selebihnya harga bayaran bergantung kepada tetamu berapa jumlah yang mereka berpuas hati untuk nilai pengalaman mereka di ‘BalBuk Haus’.

Memasuki pertengahan 2022, ‘BalBuk Haus’ secara perlahan-lahan beroperasi sebagai sebuah kafe kecil dengan mengekalkan menu utamanya iaitu ‘Nasi Lalap’ asal Sabah dan beberapa kuih tradisional dengan resepi keluarga seperti buah melaka, tepung talam, tepung gomak dan lain-lain lagi secara tempahan khas.

Selain ruang makan, sesuai dengan roh awal ‘BalBuk Haus’ sebagai ruang pengkaryaan, di sini juga selalu diadakan acara seni seperti persembahan puisi, akustik, pameran seni dan instalasi arca.

Sekitar bulan Mac yang lalu ‘BalBuk Haus’ telah dipetakan sebagai salah satu ruang ekosistem seni dalam Jelajah Pemetaan Seni Malaysia bagi Negeri Perlis.

Sesuai dengan semangatnya datang bawa damai, pulang bawa cinta. ‘BalBuk Haus’ bukan sekadar ruang personal tetapi adalah sebuah platform kepada kempen kesedaran alam, seni dan budaya untuk merai dan berbagi sesama manusia.

Demikian dipersembahmaklumkan oleh Ahmad Soffi Abdul Manah atau nama pena nya ‘Arafat Hambali’ ketika menerima keberangkatan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan singgah ketika mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan Ke 51 bagi tahun 2022 di sekitar kawasan tersebut baru-baru ini.

Sempena program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang sentiasa memberi sokongan moral kepada produk-produk pelancongan baru di negeri ini turut melapangkan masa melihat sendiri ‘Warong Chaq’ yang diusahakan oleh Abd Razak Kasim (No Telefon 0125697181) beroperasi sejak 20 Jun 2022 pada hari sabtu hingga rabu dari jam 7 hingga 11 pagi dan tutup pada khamis dan jumaat.

Antara menu sarapan pagi menarik semuanya dibuat sendiri oleh ahli keluarga beliau ialah nasi lemak, pulut kuning, gulai ayam, cucur dan kuih muih.

Baginda turut meninjau ‘BBC Campsite’ di Lorong Haji Mahmud sekitar kawasan yang sama dan disambut oleh pemiliknya Khairul Fadzli Rosli (No Telefon 0132969007). Kawasan ‘Campsite’ yang boleh memuatkan sehingga 40 orang pada satu-satu masa dengan sebanyak 15 khemah (single tents) ini berlatarbelakang pemandangan indah berupa bukit serta bendang padi.

Harga sewaan tapak adalah RM80 untuk keseluruhan tapak termasuk penggunaan tandas, letrik, air dan juga tempat BBQ.

Seperti biasa, Tuanku Raja Muda singgah menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga asnaf terpilih iaitu Abdul Saman di Kampung Kubang Perun, Nanyan Isa di Kampung Chelong dan Adam Ali juga di Kampung Chelong. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang daripada Baginda. – SM

Artikel berkaitan > Perlis wajar promosi budaya, makanan, alam semula jadi tarik pelancong Jepun – Raja Muda Perlis

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button