Politik

Air mata gembira Rahman, Bung

AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan akui menangis ketika melihat keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis.

Selain beliau, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin turut menitiskan air mata menyaksikan Barisan Nasional berjaya mengekalkan kerusi itu.

“Iya saya dan Bung menangis,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, kemenangan itu dilihat paling manis apabila pelbagai dugaan dan cabaran melanda UMNO Sabah serta menyifatkan parti itu hampir hancur di sana.

“Selama 19 bulan UMNO Sabah dilanda musibah demi musibah. UMNO Sabah hampir hancur. Setiap hari kami nazak.

“Kami kehilangan 16 ADUN, 6 MP, 2 Senator dan 22 ketua bahagian dengan kepimpinan lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi status yang dimuat naik dalam Facebooknya hari ini.

Sehubungan itu, beliau dan kepimpinan UMNO Sabah berazam untuk membina semula parti itu dari bawah.

“Sebab itu kejayaan malam ini begitu manis sekali. Kami akan bina UMNO Sabah dari bawah dengan kepimpinan yang lebih faham erti sebuah perjuangan.

“Allahuakbar! Terima kasih pengundi Kimanis,” luahnya.

Dalam keputusan tidak rasmi, Datuk Mohamad Alamin daripada parti Barisan Nasional memperoleh 12,706 undi berbanding lawannya daripada Warisan yang cuma meraih 10,677 undi.

Majoriti yang diperoleh Barisan Nasional adalah lebih besar, 2029 berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018 sebanyak 156 undi. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button