KPDNHEP lancar program cabutan bertuah “Belanja & Menang”
PROGRAM Jualan Malaysia merupakan inisiatif pemulihan ekonomi kerajaan khusus bagi sektor peruncitan kesan daripada pandemik COVID-19. Melalui inisiatif PJM yang mula dilaksanakan pada tahun 2020, sektor peruncitan di Malaysia mula menunjukkan pemulihan dan pertumbuhan yang memberangsangkan.
Sektor perdagangan borong dan runcit telah mencatatkan pertumbuhan 8.6% pada suku tahun pertama 2022. Sebanyak 19.9% dengan nilai RM129.8bilion pada bulan Mei 2022 yang merupakan pertumbuhan yang tertinggi sejak 2013.
Pertumbuhan yang sangat memberangsangkan ini disokong oleh permintaan dalam negara yang tinggi khususnya semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini dan inisiatif berterusan oleh kerajaan seperti PJM.
Program Jualan Malaysia (PJM) dengan lapan Program Utama yang sedang dijalankan oleh KPDNHEP bermula bulan Januari hingga Disember 2022 telah menawarkan jualan murah yang merangkumi Segmen Musim Perayaan, Segmen Jualan Mega dan Jualan Akhir Tahun dan Segmen Jualan Khusus di seluruh negara dan menyasarkan capaian nilai jualan sektor peruncitan sebanyak RM 500billion bagi tahun 2022.
PJM mendapat sokongan yang amat baik daripada peniaga dan pemain industri peruncitan yang merekodkan 7,035 Notis Jualan Murah (NJM) dikeluarkan kepada 210,491 premis perniagaan pada sepanjang separuh tahun pertama 2022 di seluruh negara. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding 180,756 premis mengadakan jualan murah pada tahun 2019.
KPDNHEP akan melaksanakan Cabutan Bertuah “Belanja dan Menang” PJM 2022 bagi mengekalkan pertumbuhan sektor peruncitan. Majlis tersebut akan dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Rosol Bin Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di pusat membeli-belah IOI City Mall, Putrajaya.
Cabutan bertuah ini akan diadakan bermula Ogos 2022 hingga Disember 2022 dengan enam siri cabutan bersegmen dan satu cabutan utama. Semua warganegara Malaysia (pengguna) yang berumur 18tahun dan ke atas layak untuk menyertai Cabutan Bertuah “Belanja dan Menang” PJM 2022 ini dengan membuat pembelian minimum RM100.00 dalam satu resit dan mengemukakan penyertaan melalui pautan pada aplikasi mudah alih MySales Tracker yang dibangunkan oleh KPDNHEP.
Pengguna berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan seperti sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) PROTON X50 1.5L TGDi Flagship, sebuah kenderaan pelbagai guna (SUV) PERODUA ATIVA 1.0L, motorsikal Yamaha Y15, perabot, barangan elektrik, peralatan telekomunikasi, dan e-voucher membeli belah.
Tiada had jumlah penyertaan diletakkan pada Cabutan Bertuah “Belanja dan Menang” PJM 2022 dan semua penyertaan yang diterima dengan lengkap pada semua enam cabutan bertuah bersegmen ini layak secara automatik untuk menyertai cabutan utama yang dijadualkan berlangsung pada bulan Disember 2022.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881 / 5905 atau melalui e-mel kepada [email protected].