Majlis Sambutan Jubli Emas ke-50 KPDNHEP meriah
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari inimenghadiri Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Sambutan Jubli Emas ke 50 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan KPDNHEP Tahun 2022 bertempat di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, Selangor.
Seramai 67 anggota Pelatih Kursus Asas Sains Penguatkuasaan KPDNHEP terdiri daripada 49 anggota lelaki manakala seramai 18 anggota adalah pelatih wanita melibatkan pelbagai gred jawatan iaitu Pegawai Penguat Kuasa Gred KP 41, Penolong Pegawai Penguat Kuasa Gred KP 29 dan Pembantu Penguat Kuasa Gred KP 19.
Kursus Asas Sains Penguatkuasaan kali ini telah diadakan bermula 1 Julai 2022 sehingga 14 Julai 2022. Ia bertujuan untuk memberikan latihan dan ilmu pengetahuan asas kepada anggota lantikan baharu berkaitan tugas-tugas penguatkuasaan di bawah bidang kuasa Kementerian.
Selain itu, pelatih juga telah didedahkan dengan aspek kecergasan jasmani dan fizikal seperti latihan kawad kaki, tempur tanpa senjata, pengendalian/penggunaan senjata api.
Latihan ini dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih daripada anggota PenguatKuasa KPDNHEP terlatih yang diketuai oleh Ketua Jurulatih Tuan Roslan bin Riduan.
Majlis yang diadakan juga merupakan acara Perbarisan dan Kawalan Kerhormatan Sempena Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP yang terdiri daripada 150 orang anggota perbarisan.
Ulang tahun Penguat Kuasa KPDNHEP sepatutnya disambut pada tanggal 17 April setiap tahun dan tahun ini cukup istimewa dan bermakna sekali kerana genap 50 tahun usia Penguat Kuasa KPDNHEP yang ditubuhkan secara rasmi pada 17 April 1972 dengan tema “Komited Mendepani Cabaran”.
Turut diselitkan adalah acara penyampaian sijil penghargaan kepada lain-lain agensi penguatkuasaan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APMM) dan lain-lain agensi atas komitmen dan kerjasama dalam membantu Penguat Kuasa KPDNHEP membanteras jenayah sama ada dalam Negara mahupun disempadan Negara.
Anggota Penguat Kuasa KPDNHEP akan terus komited mendepani rintangan dan cabaran dengan penuh komited dan dedikasi serta penuh berintegriti untuk memastikan pertumbuhan perdagangan domestik berkembang dengan pesat dan dalam masa sama memelihara kepentingan pengguna selari dengan aspirasi Kerajaan serta memenuhi keperluan semasa untuk mensejahterakan Keluarga Malaysia. – SM