Ekonomi

Tower REIT tawar variasi susun atur pejabat menarik untuk penyewa Menara HLX

TOWER Real Estate Investment Trust (Tower REIT) baru-baru ini memperkenalkan perkhidmatan susun atur pejabat yang boleh disesuaikan di Menara HLX yang terletak di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur. Tower REIT juga sedang mempertimbangkan untuk memperluaskan perkhidmatan ke bangunan lain di bawah portfolionya dalam masa terdekat.

Sebelum ini dikenali sebagai Menara HLA, Menara HLX menawarkan susun atur pejabat yang boleh disesuaikan melalui kerjasama antara Tower REIT, pemilik bangunan dan EzyOffice. Di bawah kerjasama itu, EzyOffice akan menyediakan beberapa templet dan berpuluh-puluh variasi untuk unit ruang kerja yang berkeluasan antara 2,000 kaki persegi hingga 13,000 kaki persegi di Menara HLX untuk penyewa masa depan untuk dipilih.

Pakej-pakej itu boleh menjadi menyeluruh seperti termasuk perabot pejabat, sekatan, penutup dinding, lantai dan siling, serta kerja-kerja elektrik dan penghawa dingin.

“Secara amnya, penyewa baru dapat menjimatkan masa, mengurangkan kerumitan renovasi dan mempercepatkan proses renovasi supaya dapat memulakan operasi mereka secepat mungkin tanpa perlu bimbang mengenai aspek pembinaan atau penghiasan ruang dalaman, “kata Noorbaizura Hermeyney, Ketua Pegawai Eksekutif Tower REIT.

Ketua Pegawai Eksekutif Tower REIT, Noorbaizura Hermeyney

Bakal penyewa hanya perlu memilih templat tersedia di platform EzyOffice untuk penyesuaian khas selanjutnya. Platform ini kemudiannya akan memberi kos anggaran serta merta. Pakej yang disediakan mempunyai pilihan komprehensif termasuk perabot pejabat, dinding pemisah asas, dinding, kemasan lantai dan siling serta pemasangan mekanikal dan elektrik.

“Kami teruja dengan peluang untuk bekerjasama dengan Menara HLX kerana dapat membuktikan kepakaran kami dalam rekaan dalaman komersial dan servis pengubah suaian,” kata Teo Khai Lee, Pengasas dan Pengarah Urusan EzyOffice.

Dalam usaha untuk memartabatkan industri reka dalaman dan pemasangan di Malaysia, rekaan templat EzyOffice memenuhi keperluan pekerjaan yang berbeza samada secara hibrid (kegunaan pekerja yang bekerja di rumah dan juga pejabat), kompak (sesuai untuk perniagaan pusat panggilan)  atau keperluan asas (ruang kerja konvensional yang lengkap dengan bilik pengarah, bilik mesyuarat dan sebagainya). Keperluan gaya kerja yang berbeza ini telah dikenal pasti selepas berbincang dengan pemilik perniagaan, termasuk mengambil kira perubahan keperluan akibat pandemik.

EzyOffice memberi nilai tambahan  kepada penyewa dengan mendigitalkan konsep dan idea pejabat, seterusnya membentangkannya dalam format yang mudah difahami. Ia juga mampu menyenaraikan semua rekaan susun atur yang boleh ditempa khusus,” kata Teo yang menerangkan bahawa pelanggan mampu mempercepatkan proses renovasi dalam dua hingga empat (2-4) minggu dengan menggunakan proses mereka, selain daripada memberi peluang untuk membina suasana kondusif di dalam pejabat.

Pengasas dan Pengarah Urusan EzyOffice, Teo Khai Lee

“Kami bukan sahaja syarikat rekaan dan renovasi, kami juga telah melebarkan sayap untuk memberikan servis sewaan perabut pejabat juga teknologi pengurusan ruang,” katanya.

Selain Menara HLX, EzyOffice juga pernah bekerjasama dengan jenama antarabangsa dan syarikat tempatan seperti Dormakarba, Classic Chair, Kian furniture, Dellform dan lain-lain.

“Kebiasaannya, pemilik bangunan mungkin mempunya panel syarikat rekaan dalaman yang akan disyorkan kepada pelanggan, tetapi proses konvensional ini mengambil masa lama. Dengan EzyOffice, penyewa hanya perlu memilih dari templat susun atur dan pelan lantai yang tersedia untuk membuat keputusan yang lebih cepat” kata Noorbaizura. Tambahnya, Tower REIT mungkin akan menggunakan konsep yang sama di Plaza Zurich pada masa akan datang.

Bagi Teo, kerjasama dengan Tower REIT membuktikan Menara HLX berpotensi untuk menjadi pemangkin konsep ruang kerja masa depan kerana menerapkan teknologi terkini, rekabentuk ergonomik dan solusi pemasangan kelengkapan inovatif.

Untuk kemudahan bakal penyewa, Menara HLX juga akan mengadakan bilik pameran seluas 2,100 kps yang memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dan mengalami sendiri potensi empat templat boleh ubah yang sesuai di guna pakai untuk tiga susun atur dan empat plan yang berbeza.

“Terdapat 48 variasi yang tidak termasuk perubahan tambahan. Bilik pameran ini mengambil inspirasi dari tema Oasis Eksperimental- tempat untuk bereksperimen dengan pelbagai cara kerja, rekaan dan teknologi. Ia adalah ruang untuk mencuba pelbagai konsep, warna dan kemasan sehingga mereka berpuas hati dengan pilihan mereka tanpa sebarang risiko,” kata Teo.

Untuk yang berminat untuk berpindah ke Menara HLX atau untuk mencuba platform EzyOffice, anda boleh layari https://www.ezyoffice.com.my/office-made-ezy , sebuah laman sesawang yang dilancarkan bersama oleh Noorbaizura dan Teo ketika pelancaran kerjasama di antara kedua pihak tersebut.

Dimiliki oleh Guocoland, Tower REIT ialah amanah pelaburan hartanah yang melabur dalam aset hartanah utama dan komersil, dengan tujuan menjana pengagihan yang stabil dan tetap kepada pemegang unit sambil meningkatkan nilai aset bersih amanah itu. Portfolionya kini terdiri daripada pegangan dalam tiga premium, aset pejabat Gred A, iaitu Menara Guoco, Plaza Zurich, dan Menara HLX. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button