POLIS Perlis sentiasa dalam keadaan siapsiaga bagi memastikan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand terkawal sejajar dengan pembukaan semula pintu sempadan Wang Kelian-Wang Prachan pada 1 April ini.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, langkah kawalan keselamatan ini berterusan sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah ke fasa peralihan endemik.
Beliau berkata, kawalan ini diperkuatkan dengan anggota Pasukan Gerak Am (PGA) yang menjalankan rondaan di sempadan.
“Saya yakin dengan pembukaan semula pintu sempadan nanti kawalan keselamatan sempadan tetap terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perbarisan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis, Asisten Komisioner, Baderulhisham Baharudin.
Sementara itu, Surina dalam amanatnya berkata, anggota polis hendaklah sentiasa berusaha dan menanam semangat untuk memberikan perkhidmatan terbaik pada setiap masa.
“Kita perlu ingat masyarakat sentiasa bergantung harap kepada polis untuk membantu dan melindungi mereka dalam apa juga keadaan,” katanya.
Sehubungan itu katanya, tugas dan tanggungjawab yang dipikul mestilah dilaksanakan berdasarkan kuasa-kuasa yang telah diberikan polis mengikut peruntukan undang-undang semasa.
Surina juga menyampaikan surat penghargaan kepada 37 anggota dan pegawai polis serta kakitangan yang berkhidmat di jabatan ini manakala 17 lagi menerima surat penghargaan sebagai “Friends of Police”.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK, DSP Rozmizan Abdul Wahab mengetuai bacaan ikrar pagi tadi.
Sempena sambutan Hari Polis hari ini, turut diadakan sketsa berkaitan pemerdagangan manusia oleh anggota polis sebelum majlis berakhir. – SM