Nasional

88 kematian akibat denggi dalam tempoh 6 bulan

KES demam denggi telah meragut 88 nyawa dari Januari hingga Sabtu lalu. Dalam tempoh tersebut sebanyak 50,511 kes demam denggi telah dilaporkan.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba, jumlah kumulatif kes demam denggi itu berkurangan berbanding tahun lepas iaitu 56,819 kes dan 88 kematian dalam tempoh yang sama.

Namun sejak lapan minggu yang lepas didapati berlaku trend peningkatan kes demam denggi dengan purata peningkatan 8 peratus seminggu.

Justeru sempena Hari Denggi ASEAN hari ini, kerajaan menjalankan kempen 10 Minit Hapuskan Aedes.

“Tema ini bertujuan untuk mewujudkan komitmen dan kerjasama padu dari semua pihak termasuk masyarakat, jabatan, agensi kerajaan mahupun swasta untuk bersamasama menangani masalah denggi.

“Melalui pendekatan tema 10 Minit Hapuskan Aedes, mesej yang ingin disampaikan adalah masyarakat perlu meluangkan masa sekurangkurangnya 10 minit untuk melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes pada
setiap minggu,” kata Dr. Adham.

Tema itu juga selari dengan hala tuju Kementerian Kesihatan dalam pencegahan Denggi yang memberikan penekanan kepada peranan komuniti untuk menjalankan aktiviti pemusnahan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes di premis masing-masing secara kendiri.

Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) individu dan masyarakat disaran untuk terus melakukan aktiviti pencegahan denggi dengan mengutamakan penjarakan sosial, memakai pelitup hidung dan mulut serta kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.

Usaha-usaha mencegah denggi juga diperkasa melalui penglibatan agen kesihatan iaitu sukarelawan COMBI di seluruh negara.

Sukarelawan ini berperanan dalam membantu KKM untuk menjalankan aktiviti pendidikan pencegahan demam denggi melalui pendekatan norma baharu.

Sehingga 12 Jun terdapat 2,954 pasukan COMBI dengan penyertaan lebih dari 25,531 orang sukarelawan terdiri dari komuniti di seluruh negara.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button