Belang Bertempat
Merdeka sesebuah negara untuk dinikmati anak watan negara
Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali menulis...
Datuk Ibrahim Ali mencatat perutusan sempena sambutan Hari Kemerdekaan esok, 31 Ogos untuk dihayati semua rakyat negara ini.
Katanya, Persekutuan Tanah Melayu negara kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Kemudian membentuk Malaysia pada 16 September 1963.
Berikut adalah catatan sepenuhnya Ibrahim atau mesra dengan panggilan Tok Him:
- Merdeka sesebuah negara adalah untuk dinikmati oleh anak watan negara yang merdeka. Sebab itu nyawa pejuang-pejuang anak watan sedia dikorbankan untuk perjuangan demi kemerdekaan.
- Setelah 66 tahun Merdeka, apa status anak watan kaum pribumi? Bahagiakah kaum pribumi hasil perjuangan kemerdekaan atau ianya dinikmati oleh pihak lain.
- Secara umum jelas sudah kemerdekaan bagi umat pribumi, ianya seolah-olah menang sorak kampung tergadai. Bumi yang dipijak termasuk Tanah Rezab Melayu kini tinggal 12% dan tonggak asas sosial kontrak hanya sekadar hiasan dalam perlembagaan negara. Kesetian pada prinsip rukun negara juga tidak membawa semangat bangsa negara.
- Kerosakan yang berlaku melalui berbagai peristiwa dan perilaku pemimpin-pemimpin serta parti politik termasuk NGO-NGO tertentu tidak perlu disenarai satu persatu. Bagi yang memahami erti semangat patriotisme yang sebenar, hasil dari kemerdekaan amatlah pedih dan menyakitkan hati. Negara yang dulunya bumi melayu kini telah hilang identiti dan membawa wajah berkecamuk, indah kulit dari isinya.
- Harapkan pegar, pegar makan padi. Selaku Presiden Parti PUTRA yang ditubuh demi kelangsungan perjuangan Nasionalisme Melayu Islam supaya bumi yang dipijak tidak menjadi milik orang, maka dengan tegas saya mengajak terutama kaum pribumi dan rakyat Malaysia supaya menolak Konsep Malaysian Malaysia, Fahaman Sekular yang memisahkan agama dengan kehidupan yang bermoral, Fahaman Pluralisme yang bermatlamat agama sama rata, bahasa sama rata dan semua hal sama rata atas dasar negara berbilang kaum. Di manakah hormat dan menghayati perjanjian sosial kontrak dan di manakah dokongan kepada Asas Perlembagaan Negara.
Semuanya retorik sahaja. Fahaman Liberalisme yang melampau juga wajib dicegah kerana ianya membawa budaya hidup LGBT dan budaya yang merosak akal budi dan moral yang bertentangan dengan syariat Islam serta budaya timur.
- Tidak perlulah saya menyentuh hal jurang ekonomi dan harta rakyat antara kaum. Kita lihat gedung-gedung, pencakar langit, rumah & kediaman mewah, dan berbagai lagi bukan milik pribumi. Tunggulah rumah mampu milik dan rumah PPRT untuk kaum pribumi. Kehidupan rakyat pula makin terhimpit dengan kos sara hidup yang terus meningkat, nilai ringgit tidak stabil dan merudum, hutang negara 1.4 trirlion. Imej negara korupsi dan politik haru biru yang tidak menentu.
- Apapun marilah sama-sama kita awasi apa sahaja yang dibuat atau lakukan perubahan atas nama reformasi, supaya tidak merugikan kepentingan kaum asal pribumi dan asas kerangka negara yang terikat dengan PERJANJIAN SOSIAL KONTRAK. Ianya bukan hiasan untuk retorik tetapi wajib dilaksanakan.
- Membujur lalu melintang patah, marilah sama-sama kita membina negara bangsa berasaskan kepada Prinsip Sosial Kontak demi kestabilan negara dan keselamatan rakyat.
- Jika kaum pribumi yang merupakan kaum majoriti hidup dalam kegelisahan dan tidak tenteram, ianya tidak menjamin masa depan negara yang gemilang. Semoga kaum minoriti memahami dan menghayati peringatan ini untuk kestabilan politik serta keselamatan negara.
MENANGIS DIRIKU MENGENANG BANGSAKU DI SAAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-66.
MERDEKA MERDEKA MERDEKA – SM