65 pelajar SBP ditempatkan di pusat kuarantin bagi pemantauan Covid-19
Seramai 65 murid Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya yang positif Covid-19 telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin yang mengesahkan tindakan itu turut hadir ke sekolah tersebut malam tadi untuk memantau keadaan pelajar.
Menurut Radzi pada awalnya seorang guru dijangkiti Covid-19, malah saringan kontak rapat kemudian mendapati terdapat seorang lagi guru dan enam murid positif Covid-19. Mereka kekal berada di sekolah dan dalam pemantauan pihak sekolah sebelum dihantar ke pusat kuarantin.
“Kemudian apabila dilaksanakan saringan kontak rapat dalam kalangan 121 murid mereka ini dipotong gelang dan dibenarkan pulang,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau, malam ini.
Bagaimanapun, Radzi berkata, dalam usaha Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang mengurangkan jumlah pelajar di asrama sekolah itu, mereka menjalankan saringan kepada lebih 200 pelajar.
Hasil saringan petang tadi mendapati 65 murid positif Covid-19 dan sudah dibawa ke Maeps untuk pemantauan.
“Pihak PKPD akan menjalankan saringan kendiri air liur kepada baki murid untuk melihat sekiranya masih ada yang positif Covid-19.
“Kementerian Pendidikan akan bekerjasama rapat dengan PKD (Sepang) dan pihak sekolah untuk memastikan anak ini berada dalam keadaan selamat,” katanya.-SM