Nasional

615,210 dos vaksin Covid-19 perlu ditambah, populasi rakyat Selangor 2.9 juta

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut apabila mendapat tahu hanya 615,210 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada negeri itu dan bukan 2.9 juta seperti didakwa sebelumnya.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani berkata, baginda menegaskan peruntukan itu adalah tidak adil kerana ia sama sekali tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk Selangor.

“Baginda terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sehingga 1 Jun lalu Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19 dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.

“Tegas baginda lagi, adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Munir juga menegaskan, baginda mengingatkan bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri terbabit.

Kata Munir lagi dalam kenyataan yang sama, dalam keadaan sekarang, Sultan Sharafuddin berpendapat nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain.

Tambah beliau, Sultan Selangor juga mahu jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor ditambah  khususnya di kawasan luar bandar.

“Baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi,” katanya.

Pada masa sama Munir berkata, Sultan Selangor turut memuji langkah kerajaan negeri yang kini agresif melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma untuk rakyat.

Sultan Selangor turut berharap, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri itu.

Dalam pada itu, Munir berkata, Sultan Selangor juga melahirkan rasa kecewa baginda susulan kewujudan golongan antivaksin di negeri itu.

“Baginda kecewa dan tidak berkenan dengan kewujudan golongan antivaksin di Selangor dan berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong seumpamanya.

“Baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan juga sesebuah komuniti masyarakat, khususnya daripada wabak berbahaya seperti Covid-19,” katanya.

Katanya lagi, Sultan Selangor juga bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 maka sasaran untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button