Nasional

6 pusat kumpul al-Quran, buku agama rosak akibat banjir di Selangor

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) membuka enam pusat pengumpulan al-Quran dan buku agama yang rosak akibat bencana banjir.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pembukaan enam pusat berkenaan dilakukan selaras dengan tanggungjawab jabatan itu untuk menjaga kesucian al-Quran.

“Banjir besar yang melanda mengakibatkan kemusnahan serta kerosakan harta benda termasuk al-Quran dan buku agama di masjid, surau, sekolah dan rumah.

“Oleh itu, JAIS membuka enam pusat pengumpulan di enam daerah yang terjejas banjir iaitu Tanah Perkuburan Islam Sungai Serai (Hulu Langat),Tanah Perkuburan Islam Johan Setia (Klang), Masjid Al-Madaniah USJ 18, Subang Jaya (Petaling), Masjid As-Solihin Kanchong Darat (Kuala Langat), Kompleks Islam Daerah Kuala Selangor (Kuala Selangor) dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya (Sepang).

“Semua pihak khususnya umat Islam, hendaklah menghantar al-Quran dan buku agama yang rosak ke masjid kariah berdekatan sehingga Khamis ini sebelum dibawa ke pusat pengumpulan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, naskah berkenaan perlu ditempatkan di ruang yang sesuai, selamat, bersih dan jauh daripada laluan manusia serta haiwan untuk mengelakkannya dilangkah atau dipijak.

Tambahnya, bagi tempat penyimpanan tidak berbumbung, pihak masjid hendaklah menutup bahan-bahan tersebut menggunakan plastik atau kanvas bagi mengelakkannya basah akibat terkena hujan.

“JAIS akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor untuk membawa naskah terbabit ke pusat pengumpulan dengan segera sebelum proses pelupusan,” katanya. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button