57 budak tadika Zon Kangar 1 teruja sertai Kem@TP
BERUNTUNGNYA 57 kanak-kanak dari 11 Tadika Pepaduan (TP) Zon Kangar 1 apabila berpeluang merasai pengalaman selama dua hari satu malam menerusi Kem @ TP.
Program ini berlangsung di Dewan Mak Teh, Bukit Besi Hangit, Jalan Raja Muda, Kangar baru-baru ini.
Antara TP terlibat adalah Allamanda, Bunga Raya, Bunga Tanjung, Carnation, Cempaka, Cempakawali, Ixora, Kaktus, Kemuning, Seri Pagi dan Seroja.
Di sepanjang tempoh ini, kesemua kanak-kanak berada dalam pengawasan guru kelas masing-masing sepenuhnya.
Bagi memastikan kanak-kanak ditanamkan dengan semangat cintakan negara dari awal, aktiviti penghayatan Rukun Negara dan Penerapan Nilai Murni diutamakan.
Juga diadakan slot Penerapan Nilai Murni Agama oleh Ustaz Zawaria Ahmad dari Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
Beliau memimpin solat berjemaah Maghrib dan Isyak, menyampaikan Kuliah Maghrib dan juga sirah nabi.
Juga diadakan aktiviti sukaneka dan juga senaman.
Kanak-kanak ini juga diberikan Taklimat Keselamatan Bersama Agensi Kerajaan.
Di sebelah malam juga diadakan Malam Budaya yang diserikan dengan persembahan Bintang Cilik Perpaduan.
Juga diadakan aktiviti luar iaitu melihat kunang-kunang sekaligus memberikan pengalaman menarik pada kanak-kanak berkenan.
Masing-masing juga teruja apabila pertama kali berpeluang untuk tidur di dalam khemah.
Sekaligus program dua hari satu malam menerusi Kem @ TP pastinya menjadi satu pengalaman menarik kepada kanak-kanak terlibat untuk terus membesar menjadi pewaris negara yang hebat suatu hari nanti.
Upacara perasmian penutupan program dilakukan oleh Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Perlis, Hanita Ahmad dan hadir sama Timbalannya, Norshafawati Ismail. – SM