Nasional

PERMAI kurang aspirasi dalam bantu rakyat – Ahmad Zahid

PAKEJ Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan Perdana Menteri semalam masih kurang aspirasi dalam membantu rakyat supaya kekal tenang di rumah sekali gus mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 yang sangat tinggi ketika ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, memang rakyat bersyukur dengan bantuan tunai, tetapi sebahagian yang diumumkan semalam adalah yang pernah diumumkan sebelum ini – cuma akan dipercepatkan.

“Ini tidak bersifat ‘contingency’ atau suatu tambahan tunai dalam membantu mereka berhadapan kesukaran PKP 2.0.

“Berapa lama bantuan bakul makanan bernilai RM100 dan bantuan wang RM300 boleh membantu rakyat untuk terus bertahan dan kekal di rumah?

“Semasa PKP 1.0 kita mengambil masa lebih lima bulan untuk mengurangkan kadar jangkitan yang cuma beberapa ratus kes,” katanya dalam kenyataan di facebook.

Soalnyai, berapa lama pula agaknya untuk PKP 2.0 mengurangkan kadar jangkitan yang melebihi 3,000 kes setiap hari.

“Apatah lagi PKP 2.0 agak longgar dan lebih banyak aktiviti dibenarkan termasuk Taman Awam di Wilayah Persekutuan dibuka semula kepada orang ramai.

“Ketua Pengarah Kesihatan memaklumkan negara memerlukan sekurang-kurangnya empat minggu untuk mengurangkan kes jangkitan Covid-19 harian antara 1,000 kepada 500 sehari,” katanya.

Ahmad Zahid bagaimana pun tetap menzahirkan kesyukuran kerana pengumuman yang dibuat selepas enam hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. tidak terlalu cepat tetapi ada kerana sebagai sebuah kerajaan tidak boleh minta rakyat ikat perut dan bersikap kedekut atau tuduh rakyat malas.

“Segala bantuan diumumkan untuk rakyat kita sokong penuh kerana ia sememangnya kebertanggungjawaban sesebuah kerajaan.

“Kerajaan sememangnya patut berbelanja untuk rakyat. Lebih-lebih lagi pada waktu PKP program bakul makanan jauh lebih penting berbanding projek dewan badminton.

“Kita menyambut baik KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2,” katanya.

Namun katanya, pembayaran ini akan dibuat pada 26 Januari iaitu pada fasa pertama PKP 2.0 berakhir sedangkan rakyat memerlukan wang itu sekarang iaitu semasa mereka diarah mengurangkan pergerakan.

“Bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman diumumkan akan terus disediakan tetapi kita mendengar rungutan mengenainya sebelum ini,” katanya. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button