Berita

Melakukan pernyataan yang dilarang punca produk ‘susu pisang’ dikenakan tindakan

KEMENTERIAN Kesihatan memandang serius penjualan dan pengiklanan produk “susu pisang” yang membuat pernyataan dilarang dan tular di media elektronik, media cetak, media sosial, risalah dan lain-lain.
Penyataan seperti membantu merendahkan tekanan darah tinggi, membantu membuang toksik dari badan, meningkatkan metabolisme, mengawalselia pengeluaran insulin dan pergerakan oksigen, mengurangkan obesiti dan sebagainya adalah dilarang pada label dan iklan produk makanan.
Kementerian itu melalui Bahagian Keselamatan dan Kualti Makanan telah mengambil tindakan ke atas pihak yang mengedar atau menjual produk makanan tersebut yang tidak mematuhi mana-mana perundangan berkaitan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Kementerian sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan  pematuhan produk makanan ke atas Akta Makanan 1983.
Terkini pada bulan Oktober 2019, KKM telah menjalankan satu operasi khas bagi membanteras dan mengambil tindakan ke atas pengeluar dan produk makanan secara serentak di seluruh negara.
Hasil Operasi Khas yang dijalankan, sebanyak 506 premis makanan telah diperiksa dan sebanyak 2,135 produk makanan bernilai RM60,494.53 telah disita.
Sementara itu, sejumlah 47 notis dengan keseluruhan nilai RM113,500.00 telah dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan dibawahnya.
Selain itu, kementerian sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pentadbir laman sosial seperti Facebook dan Instagram untuk menyekat akses kepada laman web dan laman sosial mana-mana produk makanan yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.Sehingga kini, sebanyak 103 laman web dan laman sosial telah disekat.

Seksyen 17, Akta Makanan 1983 menetapkan larangan ke atas sesuatu iklan makanan termasuklah perkara-perkara yang dilarang pada label dan pernyataan-pernyataan yang boleh memperdayakan pengguna.

Manakala di bawah Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit.

Kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 merupakan satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun.

Screenshot 2019-12-06 at 1.26.17 PM

Akuan yang DIBENARKAN tetapi BERSYARAT (Sumber: Laman Web Rasmi BKKM)

Screenshot 2019-12-06 at 1.26.28 PM

Perakaun yang tidak dibenarkan pada produk kesihatan. (Sumber: Laman Web Rasmi BKKM)

Kementerian Kesihatan memberi amaran kepada semua penjual atau agen-agen produk makanan berkenaan untuk menghentikan pengiklanan yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan tidak menyebarkannya di media sosial.

Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan iklan-iklan yang sedemikian.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Kenyataan oleh:

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

6 DISEMBER 2019

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.
Back to top button