NasionalPolitik

50 tawaran daripada Dr. Radzi Jidin untuk warga Putrajaya jika menang PRU15

DATUK Dr. Radzi Jidin, Calon Perikatan Nasional (PN) P125 Putrajaya menawarkan 50 tawaran untuk 42,881 pengundi Putrajaya jika beliau diberi mandat menjadi Ahli Parlimen pada PRU15.

Semua tawaran itu realistik dan mampu dilaksanakan termasuk mengambil kira aspirasi dan hasrat warga Putrajaya.

“Sejak menetap di sini empat tahun lalu, kami dapati bahawa ramai yang mahu melihat perubahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan 50 Tawaran Radzi Jidin Untuk Putrajaya,  malam tadi.
Tawaran itu kata beliau membabitkan kesejahteraan masyarakat, ekonomi, pendidikan, anak muda serta infrastruktur dan kemudahan awam.
Katanya, ia dibahagikan kepada lima tunjang utama iaitu Demi Warga Putrajaya yang Sejahtera, Demi Ekonomi yang Makmur, Demi Pendidikan Generasi Putrajaya, Demi Masa Depan Anak Muda Putrajaya, Demi Infrastruktur Dan Kemudahan Awam yang Terancang.
Antara yang ditawarkan termasuk mewujudkan aplikasi dalam talian dikenali sebagai Putrajaya Care iaitu pusat sehenti yang berperanan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Ahli Parlimen.

“Aplikasi ini akan berfungsi sebagai platform aduan selain wadah bagi mendapatkan khidmat bantuan, tempahan fasiliti dan perkongsian informasi,” katanya.

Malah Dr. Radzi turut menawarkan program #NgajiPutrajaya yang akan dilaksanakan melalui penyediaan kelas mengaji al-Quran secara menyeluruh.

“#NgajiPutrajaya akan dilengkapi modul lengkap untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa, termasuk penggunaan teknologi digital di surau-surau,” katanya.

Bagi sektor pendidikan pula, Radzi berkata, sekurang-kurangnya RM5,000 akan diperuntukkan kepada persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) setahun bagi mendokong peranan dan sumbangan persatuan dalam membantu kemenjadian murid.

“Perkhidmatan bas sekolah berdaftar disediakan secara percuma untuk murid miskin untuk kemudahan ke sekolah,” katanya.

Pengundi Putrajaya juga turut ditawarkan bantuan awal kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam sebanyak RM500 selain #SiswaDigital untuk keluarga yang kurang berkemampuan.

Radzi berkata, sebuah Kompleks Anak Muda Putrajaya yang dilengkapi dengan fasiliti yang kondusif untuk kegunaan belia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), siswa dan pekerja gig akan diwujudkan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button