Nasional

5 tahun terlalu lama untuk sektor pelancongan pulih

SUSULAN ketibaan pelancong ke Malaysia berkurangan sebanyak 99.5% tahun lepas berbanding tahun-tahun sebelum pandemik Covid-19, kerajaan disyorkan merangka inisiatif memacu semula sektor pelancongan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat, tempoh lima tahun yang disasarkan olehTourism Malaysia untuk sektor pelancongan negara kembali pulih adalah terlalu lama.

Muhyiddin berkata, jika ia tempoh yang diambil untuk memulihkan sektor tersebut, akan berlaku lebih banyak isu dan permasalahan lain.

“Baru-baru ini, saya mempengerusikan satu mesyuarat MPN dan Tourism Malaysia membentangkan laporan untuk memulihkan sektor pelancongan di negara kita.

“Tetapi satu perkara yang saya tegur dalam mesyuarat itu adalah apabila disebutkan pelancongan negara akan mengambil masa lebih kurang lima tahun untuk pulih iaitu sama dengan tempoh rancangan Malaysia lima tahun.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Naib Presiden Bersatu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu lewat malam tadi.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, MPN meminta kepimpinan sektor pelancongan meneliti semula dan tempoh itu harus dipendekkan.

Beliau berkata, sektor pelancongan perlu dipulihkan dalam tempoh tiga atau empat tahun sahaja kerana banyak pengusaha sama ada Bumiputera dan bukan Bumiputera yang terkesan.

Mereka ini terkesan dalam tempoh dua tahun lepas kerana sektor pelancongan berada dalam keadaan yang cukup tertekan sekali, kata Muhyiddin. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button