5 Model Kereta Baharu Edisi 2022 Yang Paling Ditunggu-Tunggu!
Setiap tahun akan ada model-model kenderaan baharu yang akan dikeluarkan senarainya bagi memudahkan urusan bakal pembeli membuat pilihan.
Untuk tahun 2022, terdapat lima model yang dijangka bakal menarik perhatian ramai dan di bawah ini adalah senarai model-model kereta untuk rujukan pembeli:
Proton Baru 2022: Proton X90
Terdapat desas-desus dalam kalangan peminat automotif bahawa Proton X90 akan membuat kemunculan pada tahun ini.
Ia berdasarkan kelibat Geely Haoyue atau Geely Okavango (nama untuk pasaran antarabangsa) yang dilihat dipandu uji di jalan-jalan utama di ibu kota baru-baru ini.
Model ini dikatakan bakal menjadi asas bagi model Proton X90 baharu. Haoyue merupakan model SUV tujuh tempat duduk (turut menampilkan varian lima tempat duduk) terbesar dalam lineup Geely.
Berdasarkan spesifikasi untuk pasaran Filipina, Geely Haoyue dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo tiga silinder.
Model kereta ini dijual di Filipina pada harga sekitar 1,208,000 peso (RM102,000) hingga 1,328,000 peso (RM112,100).
Kereta Perodua Baru: Perodua Alza
Model generasi kedua ini bakal menggantikan model Perodua Alza generasi pertama yang dibina berasaskan platform Daihatsu Boon Luminas.
Meskipun model Alza generasi pertama telah melalui beberapa fasa facelift atau naik taraf kosmetik setelah lebih 12 tahun bertapak dalam pasaran tempatan, ramai dalam kalangan peminat Perodua Alza masih menanti-nantikan kehadiran model baharu ini.
Model Perodua Alza D27A generasi baharu ini dikatakan bakal dilengkapi dengan enjin 1.5 dual VVT-i, transmisi Dual Mode CVT dan dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture – turut berkongsi platform yang sama dengan Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia.
Pelancaran model kereta terbaru Perodua Alza ini pada mulanya dijadualkan pada suku pertama 2022. Namun begitu, pelancarannya telah ditunda kepada suku kedua 2022 disebabkan oleh beberapa faktor antaranya masalah kekurangan bekalan komponen dan cip komputer daripada pembekal.
Honda Baru 2022: Honda BR-V
Berdasarkan spesifikasi untuk pasaran Indonesia, model Honda BR-V ini dikuasakan oleh enjin empat silinder 1.5 litre i-VTEC dengan DOHC.
Enjin ini berupaya menghasilkan 121 PS pada 6,600 rpm dan 145 Nm tork pada 4,300 rpm. Model SUV kompak baharu ini dijangka bakal memberi saingan sengit kepada model popular Malaysia seperti Perodua Aruz, Toyota Rush dan Mitsubishi Xpander.
Model Honda BR-V baharu ini juga turut dijangka akan dilengkapi dengan teknologi Honda Sensing seperti ciri brek kecemasan autonomi, kawalan pemanduan adaptif, bantuan pengekalan lorong dan banyak lagi.
Selain itu, model ini juga turut mencatatkan skor ujian keselamatan ASEAN NCAP yang baik. Harga Honda BR-V 2022 dianggarkan dijual pada harga sekitar RM 86,726 hingga RM 93,420 (tidak termasuk cukai jualan kereta (SST) atau mungkin lebih tinggi bergantung pada situasi pasaran semasa.
Kereta Toyota Baru: Toyota Avanza
Toyota Avanza generasi ketiga telah dilancarkan di Indonesia menggantikan model generasi kedua yang sudah pun lebih sedekad berada dalam pasaran.
Model MPV baharu ini dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang turut menyokong model-model kereta lain seperti Toyota Raize, Daihatsu Rocky dan Perodua Ativa.
Apa yang menarik, Toyota Avanza generasi baharu ini merupakan varian pertama yang menggunakan pacuan roda hadapan – model generasi sebelum ini menggunakan pacuan roda belakang sahaja.
Selain itu, ia turut menampilkan pilihan enjin yang sama dengan varian sebelum ini. Model ini dilengkapi dengan enjin empat silinder DOHC 1NR-VE 1.3 liter aspirasi semula jadi dengan Dual VVT-i.
Ia berupaya menghasilkan 98 PS pada 6,000 rpm dan 121 Nm tork pada 4,200 rpm. Ia juga turut dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan.
Kereta Honda Baru: Honda Civic
Honda Malaysia kini membuka tempahan untuk Honda Civic 2022 serba baharu untuk pasaran Malaysia yang dijangka akan dilancarkan pada suku pertama 2022.
Honda Civid generasi ke-11 ini bakal menggantikan Civic generasi ke-10 yang popular di Malaysia. Model ini menyasarkan pengguna dalam pasaran sedan segmen C di Malaysia.
Dari segi keselamatan, Honda Civic baru dilengkapi dengan teknologi Honda Sensing termasuk brek kecemasan autonomi, kawalan pemanduan adaptif dan beberapa ciri lain.
Selain itu, ciri baharu iaitu Lead Car Departure Notification System turut diperkenalkan untuk model ini. Ciri ini berfungsi memberi amaran kepada pemandu jika kereta di hadapan sudah bergerak setelah berhenti.