5.8 juta pengundi baharu diminta semak daftar pemilih automatik
SERAMAI 5.8 juta bakal pemilih bagi pilihan raya berusia 18 tahun ke atas diminta untuk menyemak pendaftaran automatik dan mengesahkan rekod mereka dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha SPR Datuk Ikmalruddin Ishak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) akan diadakan dari 1 Oktober sehingga 31 Oktober.
“Dalam tempoh SPPA ini mana-mana warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang masih belum mendaftar sebagai pemilih boleh menyemak, mengesahkan maklumat mereka dan membuat aduan kepada SPR sebelum didaftarkan sebagai pemilih secara automatik.
“Justeru SPR menyeru kepada 5.8 juta bakal pemilih berumur 18 tahun dan ke atas untuk menyemak dan mengesahkan maklumat mereka dengan SPR.
“Sekiranya bakal pemilih tidak lagi tinggal di alamat yang dipaparkan, bakal pemilih dinasihatkan untuk mengemaskini alamat kad pengenalan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara selewat-lewatnya pada 31 Oktober,” katanya.
Menurut beliau, semakan SPPA boleh dibuat menggunakan aplikasi MySPR SPPA di pautan https://mysprsppa.spr.gov.my.
Selain itu bakal pemilih menyemak terus di 594 tempat semakan di SPPA di seluruh negara.
Untuk pertanyaan lanjut orang ramai boleh menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Hotliner SPR di talian 03-88927018.-SM