MahkamahNasional

Wanita Geng Nicky didakwa di mahkamah hari ini

3 pertuduhan gubah wang haram RM120,000

SEORANG wanita yang didakwa ada kaitan dengan “Geng Nicky” dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tiga pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM120,000 dan tiga lagi tuduhan pelanggaran undang-undang cukai pendapatan.

Lim Kang Li, 31, didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 4 Mei 2018 dan 16 Mei 2020.

Dia didakwa mengubah wang berjumlah RM28,885.70, RM75,133.02 dan RM15,808 pada tempoh itu.

Kang Li boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak melebihi lima kali jumlah wang terbabit, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut menghadapi dua pertuduhan tidak mengisytiharkan jumlah sebenar cukai pendapatannya untuk 2018 dan 2019 berjumlah RM131,150 dan RM309,100, sedangkan dia patut membayar sebanyak RM28,885.70 serta RM75,133.02.

Jika sabit kesalahan, wanita itu boleh dijatuhkan hukuman penjara dan denda sehingga RM10,000 dan dua kali ganda penalti daripada baki pendapatan yang patut dikenakan cukai.

Kesalahan itu dilakukan di tempat sama antara 4 Mei 2018 dan 2 Mei 2019.

Dia turut didakwa tidak menyerahkan borang nyata cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2019.

Kesalahan di bawah Seksyen 112 (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Kang Li didakwa melakukan kesalahan itu pada 16 Mei 2020 di tempat sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman, Rohaiza Abd Rahman dan Adip Sabir Abdullah mewakili LHDN manakala Lim diwakili peguam Goh Kim Lian serta Krishnan Kesavan Nair.

Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Kamar Jamaludin membenarkan ikat jamin RM20,000 dan seorang penjamin serta mengarahkan Lim menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

Beliau turut mengarahkan Kang Li melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan sementara menunggu keputusan perbicaraan.

Sebutan kes ditetapkan pada 8 November ini untuk membenarkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen kepada pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

Sebanyak 16 individu termasuk tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada April lalu kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Namun Nicky Liow Soon Hee, 33, yang mempunyai gelaran “Datuk Seri” dan pembantunya, Niu Zhe didakwa tanpa hadir di mahkamah kerana mereka melarikan diri.

Seramai 14 individu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membenarkan ikat jamin. Lim ditahan di Penjara Kajang. – FMT – SM

(Visited 545 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button