Nasional

479 aduan terhadap anggota polis diterima – Suhakam

PENGGUBALAN Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2020 terus digesa untuk disegerakan bagi memantau tingkah laku pegawai dan anggota polis.

Gesaan itu dibuat apabila sebanyak 479 aduan diterima oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terhadap kekerasan dan salah guna kuasa oleh pegawai dan anggota polis.

Hal demikian disifatkan boleh mengurangkan keyakinan rakyat kepada badan penguatkuasa itu terutama ketika dalam tempoh Perintah Darurat.

Ini termasuklah insiden yang melibatkan seorang lelaki disyaki terbabti dalam penyeludupan rokok yang mendakwa diserang anggota polis.

“Walaupun negara kita kini berada dalam keadaan darurat, ini tidak bermakna mana-mana pihak boleh menyalahgunakan kuasa mereka dalam apa jua keadaan.

“Penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa bukanlah sesuatu yang baharu.

“Antara tahun 2015-2020, SUHAKAM telah menerima sejumlah 479 aduan berhubung penggunaan kekerasan yang melampau dan salah guna kuasa oleh pihak polis.

“Dalam hal ini, SUHAKAM menyeru agar penggubalan RUU
IPCC 2020 disegerakan.

“Kerajaan perlu memastikan agar RUU IPCC ini merangkumi intipati Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 serta syor-syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2005.”

Demikian menurut Suhakam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan badan hak asasi manusia itu, mengulas insiden serangan anggota polis di Pahang pada 6 Februari lalu.

Menurutnya, tindakan sedemikian bertentangan dengan Panduan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Dadah dan Jenayah (UNODC) mengenai kebertanggungjawaban, pengawasan dan integriti polis.

“Selaras dengan itu, Suhakam berpandangan bahawa proses semakan yang berkesan oleh sebuah badan pengawasan penguatkuasaan amat penting.

“Terutamanya dalam menangani kes-kes salah laku
berkaitan penggunaan kekerasan dan senjata api yang melampau atau menyalahi undangundang oleh pegawai polis.

“Suhakam ingin menekankan bahawa penggunaan kekerasan haruslah hanya mengikut keperluan dan bersekadar dengan objektif dan tahap tentangan yang dihadapi,” jelasnya. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button