40 tahun usia Search, hari ini berantakan soal hak
UMPAMA sarang tebuan, jangan dijolok. Adu dumba perbuatan yang tidak elok. Selama ini vokalis kumpulan Search, Amy memilih untuk kunci mulut daripada membebel menjaja cerita ‘dalam kain Search’.
Akan tetapi, kalau berterusan dijolok dari luar, lama kelamaan terkeluarlah bait-bait perkataan dari mulut Amy mengapa dia mengundurkan diri dari Search.
Kata Amy, sikap tidak professional yang dipaparkan oleh dua orang gitaris Search itulah yan menjadi punca mengapa dia menarik diri.
Dua gitaris itu bukan Hillary Ang, bukan Man Kidal dan bukan Nasir Daud tetapi merujuk kepada Din dan Kid.
Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman kini berusia 63 tahun dan wajarlah jika dia tidak melayan perkara-perkara sebegini sebelum ini.
Bagaimanapun akui Amy, kesabarannya ada had dan dia tidak mampu lagi untuk membendung diri selepas berlakunya insiden kemuncak yang membawa kepada kekecewaannya terhadap Din dan Kid.
Kata Amy, “Bukan saya menjadi punca terhadap segala kontroversi yang berlaku sebaliknya merekalah pencetusnya. Cuma sebelum ini saya mengambil sikap mendiamkan diri.
“Tapi sebagai manusia, kesabaran saya pun ada batasnya. Sejujurnya saya sudah tidak boleh tahan lagi dengan karenah mereka yang keterlaluan.
“Gagal hadir latihan, sesi promosi album dan konsert sudah jadi perkara biasa. Bayangkan ketika rakaman album Katharsis, Din tidak menghabiskan rakaman.
“Perbuatannya itu jelas menggambarkan betgapa dia tidak hormat pada penerbit album, Datuk M Nasir dan anggota Search yang lain termasuk individu yang melabur untuk pembikinan album ini, Datuk Zarol,” jelas Amy.
Katanya lagi, “saya bukan tidak matang sepertimana yang didakwa tetapi saya sudah bosan melayan karenah Din dan Kid yang lebih banyak menyusahkan.”
Kata Amy, paling membuatkannya bengang ialah apabila Din memberikan alasan yang tidak masuk dek akal mengenai kehilangannya ketika sesi rakaman album Katharsis.
“Datuk Zarol minta kami selesaikan pembikinan album dengan segera kerana kos yang dikeluarkan, sudah burst bajet. Melebihi bajet asal.
“Namun apa yang berlaku ialah kelibat Din (Noordin Mohd Taib) ini langsung tidak kelihatan. Dari pukul 6.30 petang sehingga lewat malam, dia tak muncul-muncul.
“Apabila ditanya, Din bagi alasan keadaan studio sudah gelap membuatkannya memutuskan untuk balik. Adakah awak rasa jawapan itu cukup matang untuk pemuzik macam dia,” kata Amy.
Konflik dalaman Search timbul disebabkan campur tangan pihak ketiga yang cuba menunggang nama Search demi kepentingan peribadi.
Amy berkata, tindakan pihak ketiga itu mengundang pelbagai persepsi negative dalam kalangan netizen terutama peminat Search, khususnya peminat tegar kumpulan otai ini.
“Sebagai sebuah band yang berpengalaman selama 40 tahun, kami amat terbuka dalam soal perniagaan.
“Susulan itu, saya dan Nasir berbincang untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik demi menyelamatkan Search daripada jatuh ke tangah atau pihak yang tak ada kena mengena.
“Saya akui mereka ni sibuk merancang untuk merampas Search sejak awal tahun 2021 namun perancangan Allah SWT itu lebih hebat,” kata Amy.
Amy berkongsi, dia terpanggil untuk bertemu dengan Nasir selepas kerap kali dipujuk supaya kembali ke pangkuan Search.
“Perjumpaan penuh makna ini dipenuhi dengan perbincangan mengenai keadaan Search ketika itu.
“Saya menuntut beberapa syarat jika mahu saya kembali. Antaranya, Search harus kembali ke pangkal jalan iaitu bersama anggota asal yang pernah bersama-sama Search sejak tahun 1981 demi meneruskan legasi Search.
“Jujurnya saya bahagia bersama barisan anggota asal Search,” kata Amy.
Amy berkata, beliau tidak dapat menjangkakan sama ada konklik yang melanda Search akan berakhir selagi Din dan Kid terus membangkitkan soal hak yang mana, mereka tidak sepatutnya menjadikannya sebagai satu isu.
“Selagi Din dan Kid terus membangkitkan isu hak, kontroversi ini tidak akan berakhir. Sedangkan saya sendiri tidak pernah buka mulut mengenai soal hak atau mempertikaikan hak orang lain.
“Ini kerana segala hasil kerja Search adalah hak bersama selama ini.
“Jadi, apabila mereka berdua asyik bercerita soal hak, saya lebih selesa mendiamkan diri. Mereka bukan tak tahu, sebenarnya ia adalah hak bersama.
“Hak saya, arwah Yazit, Nasir dan sesiapa sahaja yang terbabit atas nama kumpulan ini, Search,” ujar Amy. – BH ONLINE – SM