319 murid Orang Asli terima manfaat empowerNCER Akademik @Perak
PROGRAM empowerNCER Akademik @Perak bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), merupakan satu inisiatif yang dijalankan bagi membantu pelajar Orang Asli dalam persediaan kelengkapan sekolah.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin berkata penyerahan itu berikutan kebanyakan mereka tidak mampu untuk membeli kelengkapan sendiri, malah segelintir mereka ada yang memakai kasut yang sudah lusuh dan tidak bersusaian dengan saiz kaki mereka sendiri.
Menerusi program itu, seramai 319 murid orang Asli di tiga buah sekolah sekitar Batang Padang, Kuala Kangsar dan Hulu Perak menerima barangan kelengkapan sekolah.
Selain itu ikut menerima murid orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Batu 14, Sekolah Kebangsaan Batu 7, Sekolah Kebangsaan Sri Kinjang, Sekolah Kebangsaan Pos Legap, Sekolah Kebangsaan Pos Perwor serta Sekolah Kebangsaan RPS Kemar, Gerik.
Untuk penyerahan pertama, seramai 13 murid Sekolah Menengah Kebangsaan Chenderiang menerima barang kelengkapan yang disampaikan oleh Norkhalid Salimin dan Penolong Pengurus Besar, Bahagian Modal Insan , Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), Roszaidah Husman bermula 11 April sehingga 14 April ini.
“Sehubungan itu, kami berkobar-kobar untuk membantu murid orang Asli ini agar mereka dapat menjalani persekolahan anak-anak yang lain juga,” katanya pada majlis penyerahan pagi ini.
Norkhalid berkata kelengkapan sekolah yang diserahkan kepada setiap murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Chenderiang pagi ini membabitkan satu set lengkap yang terdiri daripada beg sekolah, baju sekolah, seluar sekolah, tudung, kelengkapan menulis dan kasut sekolah.
Tambahnya, selepas serahan di SMK Chenderiang yang terletak kira-kira 80 kilometer dari UPSI di Tanjung Malim mereka akan bergerak ke sekolah-sekolah lain membabit masa seminggu mengagihkan kelengkapan kepada murid yang sangat memerlukan.
Hadir sama Pengetua SMK Chenderiang, Ahmad Masri Abd Rasid serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Profesor Madya Dr Mohd Izwan Shahril. – SM