300 pelajar sertai Kem Jati Diri Belia Perlis (Youth2Unity@Patriotic)
SEBANYAK 300 pelajar terpilih untuk mengambil bahagian dalam Kem Jati Diri Belia Perlis (Youth2Unity@Patriotic) 2023.
Majlis Flag-Off di Dewan Warisan, Kangar ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Mohd Haswandi Ahmad.
Program ini dianjurkan oleh Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Rejimen 504 Askar Wataniah.
Menurut Mohd Haswandi, Pelaksanaan Program Youth2Unity@Patriotic ini dilaksanakan selama tiga hari dua malam di tiga buah Kem Wawasan Negara (KWN) di Perlis, Kedah dan Perak yang mana setiap satu Kem menempatkan 100 peserta.
Kursus jati diri ini bertujuan untuk memberi impak positif kepada para belia khususnya dalam membentuk karakter dan mempunyai sifat kesiapsiagaan untuk terus komited dalam melaksanakan sesuatu walaupun menempuh pelbagai cabaran dan halangan.
Belia yang terlibat mempunyai kekuatan dan kemampuan dalam diri masing-masing yang boleh dibangunkan secara optimum ke arah mencapai sahsiah unggul dan jati diri yang mantap.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, pelaksanaan kem ini juga bertujuan bagi memberikan pendedahan tentang isu dan cabaran melalui penyatuan masyarakat dalam membina negara bangsa.
Baginda menambah harapan semoga segala ilmu yang bakal dipelajari perlu dipraktikkan dalam sosio masyarakat setempat supaya manfaat ini akan mampu memberikan impak yang baik kepada negeri Perlis khususnya.
“Ilmu kepimpinan melalui nilai jati diri anak watan semestinya ada bagi belia negeri ini dalam menjadikan Perlis sebagai Maju dan Hebat”, titah Raja Muda lagi.
Majlis pada pagi ini dimeriahkan lagi dengan sesi salam surai berupa ‘Flag-off Peserta’ selain Raja Muda berkenan menyempurnakan simbolik pengurniaan bendera negeri Perlis kepada ketua-ketua bagi tiga kem yang terlibat.
Antaranya, Ketua Kem Wawasan Negara Kaki Bukit Perlis, Mohd Saiful Md Desa, Ketua Kem Wawasan Negara Kulim Kedah, Mohd Faizul Mohd Toff dan Ketua Kem Wawasan Negara Ulu Kenas Perak, Mohd Termizi Mat Bunor.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan agar program ini akan menjadi pemangkin bagi mengenengahkan dan menarik minat belia terutamanya anak watan di negeri ini agar sentiasa ada pembudayaan belia aktif di peringkat komuniti.
Baginda juga berharap kerjasama di antara Agensi-Agensi Negeri Perlis dan Agensi Latihan seperti i-LEAD, KBS menerusi pelbagai inisiatif mampu memberi manfaat kepada belia Perlis dalam kualiti dan kesejahteraan hidup belia Malaysia. – SM
BACA Golongan belia disaran rebut peluang disediakan Kerajaan Perpaduan
BACA Syed Alif Rikiman mahu bawa suara belia Perak pacu kemajuan negeri