Nasional

3 kementerian bergabung cari penyelesaian harga barang naik

KERAJAAN melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Kewangan bekerjasama untuk mencari penyelesaian terhadap situasi kenaikan harga barangan ketika ini.

Sehubungan itu, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia diadakan sebagai inisiatif Kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya pengguna dari kalangan berpendapatan rendah.

“Program Jualan Keluarga Malaysia menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta barangan proses dengan harga sehingga 20% lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

“Program Jualan Keluarga Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dataran Perpustakaan Lembah Pantai, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur pada hari ini.

“Ia merupakan penggembelengan usaha pelbagai agensi Kerajaan seperti Pejabat KPDNHEP Negeri, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) serta pemain industri termasuk AEON, Mydin, Lulu Hypermarket, NSK Page 2 Supermarket, KK Super Mart, 99 Speed Mart, ST Rosyam Mart, Leong Hup Agrobusiness Sdn Bhd, Legasi Z Sufi Sdn Bhd, Golden Palm Oil Industries Sdn Bhd, Pemborong Maju A&A Sdn Bhd, Ambang Asli Sdn Bhd dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS),” kata KPDNHEP melalui satu kenyataannya petang ini.

Menurut KPDNHEP lagi, inisiatif ini akan diperluaskan di seluruh negara mulai 4 Disember 2021 secara berperingkat supaya manfaat dapat dinikmati oleh setiap peringkat Keluarga Malaysia di bandar dan di luar bandar.

Katanya, Kerajaan mengalu-alukan agar lebih banyak pihak industri akan tampil bersamasama dalam Jualan Keluarga Malaysia di lokasi-lokasi lain yang akan ditentukan.

“Usaha ini juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada masyarakat pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan yang bijak bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan isi rumah,” ujar pihak KPDNHEP.

Pada masa yang sama, katanya, Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara berada pada tahap mencukupi dan pengguna dinasihatkan untuk tidak membuat pembelian panik.

“KPDNHEP akan terus menggerakkan 2,200 anggota penguatkuasa bagi memastikan tidak berlakunya aktiviti pencatutan harga dan peniaga kekal menjalankan perniagaan secara beretika,” ujar KPDNHEP melalui kenyataan yang sama.

Kerajaan turut berterima kasih kepada pemain industri dan peniaga yang menunjukkan keprihatinan dengan tidak menaikkan harga barangan pengguna walau pun dalam situasi kenaikan harga komoditi utama dunia pada masa ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button