Nasional

3.5 juta penerima Sinovac terdedah varian Omicron tanpa dos penggalak

MALANG sungguh rakyat Malaysia yang menerima vaksin Sinovac kerana 3.5 juta penerima vaksin primer itu berisiko besar terdedah kepada varian Omicron jika tidak mengambil suntikan dos penggalak (booster).

Sebanyak 3.5 juta penerima suntikan Sinovac yang memang tidak ada pilihan untuk menukar kepada vaksin yang paling elite, Pfizer terdahulu, baru hari ini dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang penerima Sinovac, keberkesanannya tidaklah setinggi Pfizer.

Apatah lagi golongan yang berusia 60 tahun ke atas yang menerima Sinovac, tidak ada pilihan melainkan mengambil suntikan dos penggalak kerana risiko terhadap golongan ini terdedah kepada gelombang varian Omiron, tidak dapat diketepikan.

Mereka yang menerima suntikan Sinovac, berkesan memang berkesan tetapi kata Khairy, Sinovac tidaklah sebaik dan seefektif Pfizer.

‘Dianaktirikan’ atau golongan terpilih yang menerima Sinovac, tidak ada pilihan melainkan pergi mengambil suntikan dos penggalak yang setakat ini, baharu satu dos seperti mana arahan Kementerian Kesihatan (KKM).

Khairy petang tadi mengadakan sidang akhbar dan memaklumkan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat sebilangan penerima Sinovac enggan menerima dos penggalak Pfizer.

Meskipun penerima boleh memilih dos penggalak mereka, kata Khairy, namun Kementerian Kesihatan (KKM) lebih mengesyorkan Pfizer dan AstraZeneca kerana ia lebih efektif berbanding Sinovac sebagai dos penggalak.

“Sebab itu, saya sudah buat keputusan kita lebih menggalakkan mereka yang menerima suntikan pertama dan kedua vaksin Sinovac, menerima Pfizer dan AstraZeneca tetapi apa juga dos penggalak adalah lebih baik daripada tidak ada langsung suntikan dos penggalak.

“Sebab itu kita akan berikan janji temu untuk mereka pilih, sekiranya mereka mahukan Sinovac bagi dos penggalak mereka,” kata Khairy.

Sementara itu, Khairy mengumumkan KKM mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF) bagi memastikan tahap kesiapsiagaan tinggi dalam menghadapi gelombang jangkitan Omicron.

RRTF adalah jawatankuasa khas yang melaksanakan tindakan awalan pantas dalam mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan, antaranya menambah katil dan mengubah suai katil bukan Covid-19, membina hospital medan dan penyumberluaran pesakit ke hospital swasta.

“RRTF ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Kheong dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Dr Asmayani Khalib yang akan membuat pelaporan terus kepada saya,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button