Nasional

29,331 veteran ATM terus dibela menerusi BSH

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) telah mengagihkan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada 29,331 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen.

Menurut timbalan menterinya, Adly Zahari, setiap veteran menerima RM300 sebulan melalui inisiatif terbaru yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan juga telah meningkatkan peruntukan untuk veteran ATM daripada RM118 juta tahun lalu kepada RM244 juta tahun ini.

“Perbelanjaan BSH juga meningkat daripada RM54 juta kepada RM174 juta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Peduli Veteran Madani (PVM) peringkat Daerah Sibu, Sarawak di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Adly turut memuji usaha JHEV mendekati veteran di kawasan pedalaman.

Beliau berkata, di Daerah Sibu sahaja, terdapat 1,340 veteran dengan 313 daripadanya tidak berpencen.

“Kalau kita lihat pengalaman kita tadi di Kapit, kita lihat ada veteran-veteran kita yang sudah berusia dan kita ada bertemu dengan veteran yang berusia 101 tahun.

“Jadi, saya ucap terima kasih juga kepada JHEV kerana saya lihat usaha yang dibuat oleh JHEV untuk memastikan veteran-veteran kita, termasuk di kawasan luar bandar, mendapat bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, PVM peringkat Daerah Sibu, Sarawak merupakan siri kedua siri jelajah PVM ke Wilayah Sarawak yang bermula 26 hingga 28 Julai 2024.

Lawatan kali ini turut merangkumi Daerah Song, Kapit, Kanowit, dan Bintangor dalam rangka lawatan tiga hari beliau ke negeri ini.

Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Zambery Jefry Darus, Pengarah JHEV Cawangan Negeri Sarawak, Mejar Steven Kadir dan Ketua Pegawai Operasi Yayasan Veteran ATM, Lt Kol Azwadi bin Jamian (Bersara). -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

shahrin

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button