Berita

250 keluarga di Satun zahir terima kasih kepada MAIPs

Sebanyak 250 buah keluarga di Thamalang Hulu dan Thamalang Hilir, Wilayah Satun mengucapkan berbanyak terimakasih kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan rakan strategiknya iaitu DZ Bikers Malaysia di atas keprihatinan telah bermurah hati menyumbangkan bahan makanan mentah pada rabu petang.

Demikian dimaklumkan oleh Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisatepan yang merupakan koordinator Thailand bagi Jaringan MAIPs dan Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman dalam ucapan beliau ketika mengagihkan sumbangan tersebut kepada golongan asnaf memerlukan khususnya dari kalangan berusia menurut hebahan media yang disiarkan oleh MAIPs hari ini.

Pada kesempatan yang sama Datuk Pichate mewakili Gabenor Wilayah Satun Ekkarat Leesen dan Presiden Persatuan Palang Merah Wilayah Satun Nosma Leesen turut mempersembahkan ucapan menjunjung kasih kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs yang memperkenankan penyampaian tersebut dilaksanakan sebagai susulan kepada sumbangan ke Kok Yaw atau juga dikenali dengan nama Pulau Panjang untuk 150 buah keluarga pada minggu lalu.

Penyerahan sumbangan kali ini yang diaturkan melalui Ketua Penyelaras Malaysia bagi Jaringan MAIPs dan Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman Thailand, Datuk Zul Aznam Haron dan timbalannya Ashidan Mat Isa turut mendapat kerjasama daripada pihak syarikat HPA, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Perlis.

Terdahulu daripada itu, Tuanku Raja Muda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan berkenaan di Jeti Kastam Kuala Perlis menitahkan bahawa Islam mendidik umatnya untuk saling menyayangi antara satu sama lain kerana dengan persaudaraan itulah yang akan menguatkan lagi hubungan ukhuwah umatnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor berkongsi, ‘Pentingnya seorang Mukmin menjaga hubungan antara satu sama lain kerana kelebihan memelihara silaturahim akan mendatangkan kebaikan serta rezeki yang murah. Bahkan, orang yang tidak menjaga hubungan sesama manusia umpama tidak mengendahkan seruan Nabi Muhammad SAW dan suruhan Allah SW’.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button