Politik

24 UMNO, 24 PH boleh bentuk kerajaan negeri kukuh di Perak

NAIB Presiden Amanah Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa memberi bayangan bahawa parti itu mahu mentadbir Perak bersama-sama dengan UMNO.

Menurut Mujahid, jumlah sokongan seramai 48 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menolak usul undi percaya terhadap Datuk Seri Ahmad Faizal Uzumu sebagai Menteri Besar Perak boleh dilanjutkan ke fasa  mentadbir kerajaan negeri bersama-sama.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, jumlah gabungan ADUN UMNO dan ADUN Pakatan Harapan boleh membentuk sebuah kerajaan negeri yang kukuh di negeri itu.

“Saya mencadangkan angka 48 sebagai kayu pengukur yang perlu dilanjutkan dalam fasa ini, ia bukan mustahil.

“Ini bermakna 24 UMNO dan 24 PH mampu membentuk kerajaan yang dari sudut bilangannya adalah kukuh dan stabil.

“Soal bagaimana teknikal pembentukan kerajaan UMNO dan PH di Perak terpulanglah kepada perbincangan dan persetujuan bersama antara pemimpin UMNO dan PH,” kata Mujahid.

Beliau menengaskan peluang yang terbuka itu patut digunakan untuk mengukuhkan demokrasi dan menyembuhkan negeri Perak dari frisko politik langkah Sheraton yang didakwanya mengundang musibah besar terhadap politik negara.

Mujahid berkata, walaupun kerajaan campuran UMNO dan PH akan menimbulkan polemik dalam kalangan pengikut masing-masing namun keutamaan harus diberikan terhadap keperluan kerajaan bermajoriti kukuh untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Di sinilah politik berjiwa besar perlu ditonjolkan dalam suasana Covid dan krisis kepercayaan kepada pemerintah menggugat ketahanan kita,” tegas Mujahid.

Sementara itu Mujahid turut optimis untuk PH dan UMNO bersama-sama mentadbir negara di peringkat persekutuan.

Katanya, fasa pertama di Perak membuktikan gabungan undi UMNO dan PH bukan sesuatu yang mustahil untuk dijayakan.

“Kita menanti fasa kedua apakah gabungan ini untuk stabiliti sebuah kerajaan boleh dicapai.

“Langkah Perak mencabar MP di Persekutuan khususnya MP UMNO apakah mereka bersedia bersikap terbuka seperti PH di Perak?

“Tidak ada bezanya di Persekutuan dari sudut tujuan besar yang ingin dicapai, iaitu membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil melalui bilangan undi yang solid antara PH dan UMNO,” kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button