Nasional

Tiga lelaki dihukum penjara, denda bermain golf ketika PKP

MAHKAMAH Majistret Batu Gajah menjatuhkan hukuman ke atas tiga orang lelaki yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketiga-tiga tertuduh dijatuhi hukuman tiga hari penjara dan denda maksimum RM1,000 oleh Majistret Nazratul Natrah Mohd. Yusof hari ini dengan sengaja melanggar PKP dengan bermain golf.

Tertuduh-tertuduh adalah pengurus sebuah kelab golf, Low Teck San, 68, Tan Chee Kean, 59, yang tidak bekerja dan seorang guru tuisyen, Eugene Wong Yat Hoe, 37.

Kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Mahkamah memerintahkan semua tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap (semalam) dan penjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda.

Nazratul Natrah turut menegur perbuatan kesemua tertuduh kerana telah memperlekeh dan memperolokkan undang-undang selain tidak mempunyai simpati kepada petugas barisan hadapan yang sedang memerangi COVID-19.

“Jika dilihat ketiga-tiga kamu adalah golongan terpelajar bukan orang kampung atau orang luar bandar yang tidak tahu undang-undang, tambahan lagi sekarang sudah memasuki fasa ketiga PKP,” kata majistret itu.

Berdasarkan pertuduhan, Low, Tan dan Wong didapati berhimpun dalam kawasan tempat jangkitan bagi maksud untuk bersukan yang melanggar Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang sedang berkuat kuasa mulai 15 April hingga 28 April 2020.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di padang golf (lubang 15), Kelab Golf Clearwater Sanctuary Resort pada 11.30 pagi, 16 April yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11 (1) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketiga-tiga tertuduh sedang bermain golf semasa pasukan polis sedang membuat rondaan penguatkuasaan PKP di kawasan itu dan polis juga telah merampas tiga set beg golf milik mereka.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairoz Abd Mutalib memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesemua tertuduh telah melanggar arahan kerajaan yang sedaya upaya menangani wabak COVID-19.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam Parveen Sharma Krishnan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman denda dengan alasan mereka menanggung keluarga dan tiada rekod kesalahan lampau. – Laporan dipetik dari BERNAMA-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button