Ekonomi

2023 tahun pemerkasaan dasar makroekonomi Malaysia – Maybank Investment

SEDAR atau tidak, tahun 2023 menjadi tempoh usaha Malaysia memperkasakan makroekonomi khususnya pada separuh kedua menerusi pengenalan beberapa dasar yang lebih meluas.

Maybank Investment Bank Bhd berkata, antara dasar makro yang diperkenalkan enam bulan kedua tahun ini merangkumi Rangka Kerja Ekonomi MADANI, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).

“Rangka Kerja Ekonomi MADANI yang dilancarkan pada 27 Julai lalu menekankan memanfaatkan kekuatan sedia ada Malaysia untuk menjadi peneraju ekonomi Asia dan kedudukan 12 teratas dalam daya saing global.

“NETR pula menawarkan laluan dalam memacu fasa pertumbuhan ekonomi Malaysia yang seterusnya dengan mengubah ekonomi, dan agenda kemampanan, ketika negara beralih kepada tenaga boleh diperbaharui (RE), manakala NIMP 2030 pula memacu transformasi industri perkilangan melalui peningkatan kerumitan produk.

“Satu lagi pelan tindakan makro utama pada 2023 ialah KSP RMK12 yang membabitkan pengubahsuaian dan mewujudkan peralihan untuk pembangunan mampan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bank pelaburan itu juga berkata, antara dasar makro lain yang mengisi pelan transformasi negara adalah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang diluluskan di Parlimen pada November, untuk menyokong disiplin dan penyatuan fiskal.

“Dari segi keputusan monetari, Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekali, sebanyak 25 mata asas pada Mei, mengembalikan kadar penanda aras kepada 3.0 peratus sebelum pandemik,” katanya.

Sementara itu, Menurut Maybank Investment Bank, sepanjang tahun ini, harga komoditi merosot dengan harga minyak mentah berada pada paras purata lebih rendah AS$82.31 setong sehingga 12 Disember berbanding AS$99.93 setong pada 2022.

Rangka Kerja Ekonomi MADANI menyasarkan Malaysia di kedudukan 12 teratas dalam daya saing global kata Perdana Menteri semasa meluncurkan kerangka Ekonomi MADANI pada 27 Julai lalu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Nilai ringgit juga melemah kepada RM4.557 secara purata berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), mencecah paras rendah RM4.794 pada 23 Oktober lalu,” katanya.

Menurut bank pelaburan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merombak Kabinet Kerajaan Perpaduan pada 12 Disember lalu untuk mengukuhkan pelaksanaan dalam transformasi ekonomi dan dalam menangani isu kos sara hidup.

Maybank Investment Bank menambah, setakat hari ini, Bursa Malaysia susut sekitar 2.5 peratus berbanding penutup tahun lalu, selepas mencecah paras tertinggi 1,500 mata pada 20 Januari, dan jatuh ke paras terendah dalam beberapa tahun iaitu 1,375 mata pada 8 Jun lalu.

Katanya, ia mewakili penuruan tahun ketiga berturut-turut untuk Bursa Malaysia.

“Sebanyak 52 peratus daripada saham liputan kami (menjadikan 71 peratus daripada jumlah had pasaran di Bursa Malaysia) mencatat penurunan nilai apabila harga sahamnya semakin lemah pada tahun ini.

“Kebanyakan saham bank mencatatkan kerugian, begitu juga dengan pengguna, perjudian, media, Petronas Chemicals, perladangan dan telekomunikasi,” katanya.

Dalam pada itu, bank pelaburan itu berkata pelabur asing yang menjadi pembeli bersih saham Malaysia tahun lalu dengan aliran masuk bersih sebanyak RM4.4 bilion, menerbalikkan kedudukan pada separuh pertama 2023, sebelum kembali bagi tempoh Julai hingga September.

“Secara keseluruhannya, pelabur asing adalah penjual bersih berjumlah RM2.89 bilion pada 2023 (setakat 12 Disember).”Berbanding dengan rantau ini, jualan bersih asing Malaysia pada AS$640 juta untuk 2023 (sehingga 12 Disember) berada di belakang negara ASEAN – Thailand (-AS$5.67 bilion), Indonesia (-AS$980 juta), Filipina (-AS$850 juta) dan Vietnam (-AS$820 juta).

“Sebagai nisbah permodalan pasaran, jualan bersih asing terkumpul Malaysia untuk 12 bulan lalu adalah sebanyak -0.2 peratus, di bawah Thailand dengan -1.1 peratus dan Filipina -0.4 peratus, tetapi mendahului Indonesia (-0.1 peratus),” katanya. – SM

Artikel berkaiatan > KUSKOP komited jayakan kerangka Ekonomi MADANI

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button