1MDB: KPMG setuju bayar RM333 juta
KPMG bersetuju dengan penyelesaian bernilai RM333 juta (AS$80 juta) bagi memenuhi semua tuntutan yang berkaitan dengan tanggungjawab fidusiari mereka dalam pengauditan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tempoh 2010 hingga 2012.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran tersebut membuktikan tekad kerajaan Malaysia untuk meneruskan segala usaha pemulihan terhadap semua pihak yang terlibat dalam 1MDB dan entiti yang berkaitan dengannya.
Kerajaan menurut beliau akan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap semua individu atau entiti yang terlibat, secara langsung atau tidak langsung di dalam skim global 1MDB itu.
“Penyelesaian ini akan mengakhiri tuntutan sivil yang difailkan pada 6 Julai lalu terhadap KPMG.
“Ini mempercepat penyelesaian tersebut yang akan digunakan untuk memenuhi obligasi 1MDB yang tertunggak dan menjimatkan sumber awam dari segi kewangan dan tempoh masa pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, penyelesaian dengan KPMG, bernilai lebih dari 800 kali ganda fi audit yang diperoleh KPMG, merupakan salah satu penyelesaian berkaitan 1MDB yang terbesar oleh sebuah firma audit di Asia Tenggara.
Katanya, penyelesaian tersebut tidak akan memberi kesan atau menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap individu seperti Jho Low dan pihak lain yang berkaitan dengannya, dan yang masih diburu oleh pihak berkuasa berhubung dengan skandal kewangan 1MDB.
“Kementerian Kewangan ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, badan pengawal selia dan agensi penguatkuasa yang terlibat atas usaha mereka dalam mencapai penyelesaian ini,” katanya. –SM