Nasional

17 aktiviti sektor perdagangan dibuka, jaga SOP – Alexander Linggi

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan seluruh komuniti peruncitan menyambut baik persetujuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pembukaan semula 17 aktiviti sektor perdagangan pengedaran yang bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengumuman oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob itu tepat pada masanya dan sangat dinanti-nantikan bukan sahaja pemain industri yang terbabit malah seluruh pengguna yang telah lama menunggu pembukaan semula aktiviti tersebut.

“Saya yakin seluruh pemain industri dan pengguna akan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 dan pada masa yang sama, berganding bahu memulihkan ekonomi negara.

“Saya berharap kebenaran pembukaan semula aktiviti perniagaan ini terutamanya kebenaran dine-in tidak disalahguna dan semua premis perniagaan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut berharap, pembeli dan pengguna juga bekerjasama dengan mematuhi SOP seperti sentiasa memakai pelitup muka, mendaftar kehadiran dengan MySejahtera, menjaga penjarakan sosial, mencuci tangan dengan cecair sanitasi dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan Covid-19.

“Semua itu adalah untuk bersama-sama memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan dan Kementerian akan terus memantau serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) terhadap mana-mana pemilik perniagaan yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN,” katanya.

Untuk rekod, sehingga 7 Februari lalu, sebanyak 357,489 premis perniagaan telah diperiksa pematuhan SOP  dan ia telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP diseluruh negara.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 112 premis perniagaan telah dikenakan kompaun dibawah Akta 342. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button