PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menyatakan kesediaan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), jika Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa.
Ini kerana parti itu mengesahkan bertanding di 40 Parlimen dan 25 daripadanya sudah dikenalpasti calon yang akan diletakkan.
Selain itu, Putra juga memaklumkan mempunyai 162 bahagian berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sejak 11 Ogos lalu.
Malah, Perak dikatakan menjadi negeri dengan sokongan terkuat Putra, walaupun parti itu baharu ditubuhkan pada Mei 2019.
“Jumlah bahagian yang sudah mengadakan mesyuarat penubuhan dan telah diserahkan kepada ROS adalah sebanyak 118 bahagian.
“Bahagian yang sudah menerima sijil pendaftaran daripada ROS sebanyak 92 bahagian, manakala 26 bahagian lagi sedang menunggu sijil daripada ROS.
“Insya Allah, baki 44 daripada 162 bahagian yang telah menerima kelulusan akan dapat disempurnakan penubuhnannya dalam masa yang terdekat.”
Kata Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali ketika berucap dalam ucapan dasarnya ketika perasmian Persidangan Agung Tahunan Pertama yang diadakan di Hotel Regency, Kuala Lumpur hari ini.
Dilaporkan, seramai 250 perwakilan hadir dalam persidangan parti itu walaupun dalam suasana krisis pandemik Koronavirus (Covid-19).
Kata Ibrahim, kehadiran sepatutnya mencecah sehingga 1,200 orang jika tiada krisis menghalang. Namun, Putra perlu akur dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menganjurkan persidangan besar.
Bagaimanapun, katanya lagi, persidangan tetap diadakan bagi memenuhi kehendak perlembagaan parti dan syarat ROS.
Dalam pada itu, Ibrahim yang juga bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi era Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat, menjelaskan sekali lagi asal penubuhan Putra.
Menurut beliau, Putra dilahirkan di atas kesucian niat untuk memperjuangkan nasib rakyat Malaysia terutama bangsa pribumi yang terhimpit dengan tekanan ekonomi.
“Putra bukan dilahirkan melalui tulang rusuk mana-mana parti yang berpecah akibat perebutan kuasa.
“Tetapi, kesinambungan dariapda roh perjuangan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang resah gelisan dengan perkembangan politik negara.
“Politik negara yang terus berkecamuk, ekonomi bangsa pribumi terus terhimpit, Islam terus dihina, perpecahan kaum yang semakin ketara.
“Serta muncul pelbagai fahaman karut dalam pelbagai angkara seolah-olah Malaysia kini seperti ‘telur di hujung tanduk’.
“Justeru, pimpinan Putra mengambil sikap ‘biar berputih tulang, jangan berputih mata’ dengan menjunjung tinggi Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu dalam setiap tindak-tanduk perjuangan Putra sebagai pewaris pejuang bangsa sebelum ini.
“Biar apa pun Putra dituduh seperti ekstremis, rasis dan tidak mengikut peredaran zaman, namun Putra rela menghadapi apa jua cabaran demi ‘survival’ bangsa pribumi.
“Untuk itu Putra akan melakukan apa sahaja mengikut ruang lingkup perundangan negara yang sedia,” tegasnya.
Putra menganjurkan persidangan agung pertamanya yang turut dihadiri tetamu khas wakil daripada kedutaan Iran, Pakistan dan Turki.
Turut hadir adalah pemimpin organisasi bukan kerajaan (NGO) dan pemerhati-pemerhati khas. – SM