Nasional

159,027 calon lepasan SPM ditawar tempat ke IPTA & ILKA

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada semua calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang telah mengemukakan permohonan melanjutkan pengajian ke peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) meliputi Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) menerusi UPUOnline®.

Pada tahun ini, KPT telah menerima 214,173 permohonan yang layak bagi lepasan SPM untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline®.

Seramai 159,027 calon (74.25%) telah ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian.

Daripada jumlah tersebut, seramai 83,667 calon ditawarkan di UA, 43,531 calon ditawarkan di Politeknik, 26,474 Kolej Komuniti dan 5,355 ILKA.

Tawaran Laluan Khas secara keseluruhan adalah sebanyak 16,593 dengan pecahan tawaran iaitu 15,082 bagi Kategori B40, 425 Orang Kurang Upaya (OKU), 732 Atlet dan 354 Orang Asli.

Selain itu, seramai 31 calon lepasan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) telah mendapat tawaran.

Secara keseluruhannya, sebanyak 504 program pengajian telah ditawarkan bagi sesi kali ini dengan pecahan 104 Sijil, 53 Asasi, 346 Diploma dan 1 Ijazah Sarjana Muda.

Kemasukan pelajar ke institusi-institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.

Kepada calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, Kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline® dalam tempoh 10 hari, bermula daripada 28 Jun 2024, pukul12 tengah hari hingga 7Julai 2024, pukul 5 petang.

Pihak Kementerian mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan semoga peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button