Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menutup operasi dua buah restoran nasi kandar selama 14 hari bermula semalam susulan penemuan najis tikus dan lipas.
Dua buah restoran itu antara antara lapan premis makanan yang diarah tutup oleh majlis itu dalam operasi semalam.
Pemeriksaan secara mengejut dan rawak itu juga mendapati terdapat sebuah premis makanan yang tidak menghiraukan aspek kebersihan penyediaan makanan kepada pelanggan dengan memproses serta memotong ikan mentah di atas lantai.
Operasi itu juga mendapati terdapat premis yang tidak menyelenggara dengan baik peti beku yang menyimpan bahan mentah.
Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang berkata, penutupan premis-premis itu bukan bertujuan untuk menjejaskan perniagaan, tetapi lebih kepada memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Kesemua lapan premis ini telah dikenakan tindakan arahan penutupan serta-merta 14 Hari di bawah Undang-Undang Kecil UUK 38(1) UUK Establisymen Makanan MPPP 1991.
“MBPP tidak akan berkompromi dengan piawaian kebersihan dan telah melaksanakan pemantauan secara berkala serta membuat pemeriksaan secara rutin dan rawak secara mengejut dari semasa ke semasa,” katanya.