Nasional

Isu Duta Enclave beri implikasi serius kepada negara

PERDANA Menteri berkata, keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB) dalam isu pertikaian hak milik tanah seluas 263.272 ekar Duta Enclave boleh memberi implikasi serius kepada negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghormati badan kehakiman, namun perlu melihat semula dari sudut perundangan, kerana prinsip penggunaan tanah itu demi kepentingan awam harus diberi pertimbangan.
Katanya, pada pandangan kerajaan, keputusan itu jika dijadikan dahuluan atau ‘precedent’ untuk kes pertikaian tanah sama ada sebelum atau sejak Merdeka, negara akan menjadi huru-hara.
“Kalau prinsip ini digunakan, bagaimana dengan tanah-tanah rakyat yang dulu diambil sejak Merdeka atau sebelum Merdeka? Yang diambil untuk tujuan kerajaan, diambil alih oleh sektor swasta, atau sektor swasta yang membeli tanah pertanian, minggu-minggu berikutnya tukar kepada tanah industri?
“Jadi (bagaimana dengan) orang yang jual pada harga yang sangat rendah dan dapat sangat tinggi?” soalnya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di ibu negara hari ini.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan agar kerajaan perlu memindah milik tanah ‘Duta Enclave’ kepada Semantan Estate, selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.
Beliau juga menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan. – s

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button