15 anggota Taliban terbunuh dalam serangan terbaharu tentera di Afghanistan
SEKURANG-KURANGNYA 15 anggota militan Taliban terbunuh dalam serangan terakhir tentera di wilayah Kandahar di selatan Afghanistan, demikian menurut Kementerian Pertahanan negara itu pada hari Jumaat.
“Lima belas pejuang kumpulan pengganas Taliban terbunuh dan tujuh yang lain cedera dalam serangan Pertahanan Nasional dan Pasukan Keselamatan Afghanistan (ANDSF) di kawasan sekitar daerah Arghandab, wilayah Kandahar,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Pasukan ANDSF disokong oleh Angkatan Udara Afghanistan ketika menggempur kedudukan Taliban, kata kenyataan itu, sambil menambah sejumlah senjata dan peluru militan juga dimusnahkan dalam serangan itu pada Khamis.
Pasukan keselamatan juga meguasai sejumlah wilayah dari militan di Arghandab selain menemui dan melumpuhkan 30 periuk api Taliban dan bom di pinggir jalan di kawasan itu.
Keadaan keselamatan bertambah baik di Kandahar, bekas kubu kuat Taliban, selama beberapa bulan terakhir ini dan pasukan keselamatan telah melakukan operasi mencari dan mengepung di seluruh wilayah itu.
Tetapi militan tetap menyerang kepentingan pemerintah di wilayah itu dari semasa ke semasa. – XINHUA