Nasionalpilihan

120 pekerja warga Bangladesh hidup daif

Nasib 120 pekerja warga Bangladesh hidup daif di sebuah gudang yang telah diubahsuai di Bukit Rambai di sini terbongkar dalam operasi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka di kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini hari ini.

Pengarahnya, Johana Bakar berkata, selain mereka tinggal dibilik yang sempit, ruang mandi pula kotor dan berlumut selain sistem pendawaian eletrik yang tidak teratur boleh membahayakan nyawa mereka.

Menurutnya, kontena yang dijadikan bilik untuk mereka tidur pula tidak selamat di bahagian atas kerana laluannya menggunakan papan lapis.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati majikan itu pernah dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 pada 2020 atas kesalahan mengabaikan kebajikan dan keperluan asas pekerja kerana tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan
dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Keadaan pekerja sebuah kilang perabot di sini amat daif bilik yang sempit, ruang mandi pula berlumut, majikan kata ada pasukan mencuci tetapi sebenarnya tidak ada selain pendawaian letrik berselirat dengan keadaan kipas berselerak.

“Susulan daripada ini kita mengambil tindakan dengan mengeluarkan empat kompaun keseluruhan berjumlah RM65,000 di bawah Akta 446.

“Selain itu, JTK akan berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan tidak semua 120 pekerja duduk di gudang ini atau majikan terpaksa berpindah ke penginapan pekerja berpusat (CLQ),” ujarnya kepada pemberita selepas tamat operasi hampir sejam lebih di sini hari ini.

Mengulas lanjut Johana berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati majikan terbabit melanggar syarat permit yang sepatutnya penginapan buat 80 pekerja dan bukannya untuk 120 orang.

Selain itu katanya, kawasan penginapan yang dibuat tidak mengikut spesifikasi asal yang diluluskan oleh PBT sejak tiga tahun lalu.

Katanya, antara kesalahan utama dilakukan majikan itu ialah di bawah Seksyen 24D tiada perakuan penginapan dan Seksyen 24K tiada penyelenggaraan tandas, dapur, ruang mandi serta persekitaran. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button